Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 19 April 2017

DARI MANA ASALNYA CERITA TOLONG CARI SUAMIKU



Setelah Aku Turut Bahagia diterbitkan, hati melonjak bahagia. Sehingga kepala kosong tidak tahu apa yang ingin saya tuliskan lagi.  Idea entah ke mana?  Kosong sekosong,kosongnya.  Kepala mula bingung.  Editor sudah mula bertanya akan naskah terbaharu, kerana karya yang telah diluluskan penerbitannya mengambil masa enam bulan pula untuk menjadi naskah bercetak dan  berada di kedai buku. Jika lambat menyiapkannya sudah pasti tiada buku di tahun seterusnya.  Bagaimana?
            Ketika itu saya sudah mempunyai blog yang telah dibina oleh seorang kenalan bernama Yong Linda atau Lin,  blognya cantik tetapi saya tidak pandai mengendalikannya. Sehinggalah saya bertemu dan berkenalan dengan Cikgu Monalita Mansor yang menjadi tenaga pengajar membina blog dan menulis karya kreatif.  Biarpun sudah bergelar penulis tidak semestinya saya pandai ke semua perkara.  Ada perkara yang kita tidak tahu dan perlu belajar.  Cikgu Monalita Mansor menjadikan blog saya hidup kembali dan aktif sehingga ke hari ini.  Terima Kasih cikgu.
            Salah satu latihan diberi  di dalam kelas membina blog adalah latihan catatan bergambar.  Saya mendapat sebuah gambar seorang perempuan sedang mendukung seorang anak, di dalam dewan yang dipenuhi oleh orang ramai.  Ketika itulah saya mendapat idea untuk memanjangkan catatan saya itu menjadi sebuah novel.  Kisah seorang perempuan yang kehilangan suaminya pada malam kawasan  rumahnya terbakar.  Di situlah bermulanya kisah TOLONG CARI SUAMIKU.

            Kelemahan saya adalah tidak pernah buat lakaran ketika menulis. Main bedal sahaja, asalkan menjadi sebuah cerita.  Lantaklah kau hendak jadi apa, itulah yang ada dalam kepala, sehinggalah siap manuskrip saya itu. Saya perjuangkan nasibnya dengan menghantar ke meja editor.  Dalam TCSK, saya masukkan thriller, kisah perebutan harta, penculikan, pembunuhan, pembunuh upahan.  Kalau tidak berhati-hati membacanya boleh pening kepala.
            Dari sebuah kisah kehilangan suami, sehinggalah menjadi senaskah karya thriller kekeluargaan.  Setiap penulis pasti akan berusaha mencari sesuatu yang menarik untuk diberi kepada para pembaca karya-karyanya, begitu juga saya.  Saya terus mengolah cerita di dalam TCSK sehingga saya sendiri berpuas hati dan Alhamdulillah, editor pun suka.  TCSK adalah karya kedua saya bersama Alaf 21.  Maka lahirlah ia pada tahun 2014 dengan megahnya.  Misai seperti misai Dato’ K, maka karya itu terus berlegar di kedai-kedai buku.
            Mencari kelainan dalam sesebuah karya bukannya mudah, kadangkala kita masih terpengaruh dengan cara karya sebelum ini, begitu juga TCSK, masih ada poligami tetapi tidak sekali.  Aduhai! Bukan suka poligami tetapi entahlah, terbawa-bawa dengan cara karya pertama.  Kali ini, saya menjadikan watak Mastura seorang yang tegas, cekal dan kuat, tidak selemah Ummi Khadeeja yang menyerah kepada takdir hidupnya.  Watak Katrina tidak sejahat Syifa Umaira’ akhirnya Katrina berubah menjadi manusia yang baik.  Tetapi saya jadikan watak pembantu, iaitu ibu kepada watak hero, sebagai watak antagonis yang akhirnya saya matikan dipengakhiran cerita. Tragis kematiannya, hendak tahu bagaimana menemui ajalnya? Maka, jika terjumpa buku Tolong Cari Suamiku, belilah ya. Adakah Mastura berjaya menemui suaminya yang hilang?  Terjawab di dalam TCSK.

           

Tiada ulasan:

Catat Ulasan