Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 25 April 2017

BAGAIMANA CERITA KEHIDUPAN MENDAPAT CERITA.

   
    Sewaktu mula-mula menulis, setelah saya menghantar manuskrip cerpen atau novel, asyik kena tolak sahaja, maklumlah tiada ilmu tentang penulisan.  Saya main terjah sahaja, selagi berani dan tidak putus asa. Dalam kepala, perlu masuk pertandingan agaknya, baharulah diri dikenali dan ada rumah penerbitan akan ambil saya jadi penulis mereka.

    Lewat 90-an, pantang ada pertandingan atau sayembara, semuanya saya akan masuk, biarpun tidak menang, saya tidak pernah kenal putus asa, cuba dan cuba.  Setelah novel pertama saya diterbitkan.   Pada tahun 2013 saya terbaca keratan iklan tentang sayembara menulis novel kanak-kanak dan remaja anjuran Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka.  Kebetulan sedang berehat menulis novel seterusnya.  Tidak salah mencuba, kalah menang bukan penting pun, yang penting adalah saya mencuba.

    Syarat untuk sayembara itu adalah bebas, tetapi mesti dimasukkan tentang isu semasa dan jalan cerita perlu ada motivasi diri.  Berhari-hari saya mencari intipati cerita yang sesuai dengan kehendak pihak penganjur.  Hendak buat kisah apa? Kisah siapa? Cerita apa? Bagaimana?

    Membaca suratkhabar, mendengar cerita, mendengar berita di media eletronik tentang para pelajar yang tidak suka sekolah, ponteng sekolah, malas belajar, tidak ada kesungguhan untuk belajar membuatkan saya terfikir, kenapa tidak saya melakarkan cerita yang mampu memberi motivasi diri kepada pelajar di luar saya, apa yang perlu mereka lakukan jika berada dalam keadaan tertentu.

    Kisah remaja, tentulah berkisah tentang kehidupan mereka.  Dunia mereka.  Saya bayangkan zaman persekolahan saya.  Saya mendapat pendidikan di sekolah bandar, bercampur dengan tiga kaum utama.  Saya paparkan tentang sebuah keluarga yang hidup sederhana, punya anak ramai, ibu tidak bekerja, ayah hanya membawa teksi.  Apa bentuk motivasi yang perlu saya masukkan?  Ya, saya perlu lahirkan seorang pelajar yang punya semangat tinggi dan kental untuk membantu pelajar lain untuk berjaya dan  mengejar cita-cita.  Saya juga terapkan, sekali gagal, tidak selamanya gagal.  Orang yang lemah atau bodoh  boleh berjaya jika dia berusaha. Hanya orang MALAS sahaja yang tidak akan  berjaya.
   

    Apa isu semasa yang ingin saya masukkan?  Keldai dadah yang sedang hangat ketika itu di dada suratkhabar.  Saya masukkan cerita itu ke dalam CERITA KEHIDUPAN.  Saya juga tidak lupakan kebaikan dan persahabatan. Kasih sayang sesama insan, biarpun berlainan agama dan bangsa.  Hidup boleh jadi baik, jika semua positif dan bersangka baik. Itulah yang ada dalam CERITA KEHIDUPAN.

    Lama menyepi, tidak dengar khabar berita, saya tidak menaruh harapan yang tinggi, bagi saya ramai lagi penulis yang hebat akan ikut masuk bertanding.  Kalah menang, saya terima sahaja. Pada suatu hari, saya menerima panggilan telefon daripada pihak Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka.  Saya sudah lupapun sebenarnya.  Alhamdulillah, sama sekali tidak menyangka, pertama kali menulis novel remaja, karya ini terpilih sebagai pemenang.  Saya tanya kepada pihak penganjur, dapat nombor berapa?  Mereka kata, tunggu sehingga hari penyampaian hadiah. Wah! Satu kejutan!

    Saya akur, tunggu dan menunggu sehingga tarikh dan hari penyampaian hadiah.  Allahu Akbar!  Tidak menyangka sama sekali, karya ini menang tempat KEDUA.  Senyuman saya mekar kembang sepanjang majlis, di kiri kanan saya orang-orang hebat dalam dunia penulisan novel remaja dan kanak-kanak.  Terasa kerdil sungguh diri saya ketika itu.  Tetapi semangat juang saya tidak pernah luntur.  Naik ke pentas mengambil hadiah yang lumayan daripada pihak penganjur. Terasa hati berbunga riang.  Berkali-kali tanya diri sendiri, AKU MENANG?  AKU MENANG?
    Hendak tahu bagaimana rasanya memenangi sesuatu pertandingan itu, tanyalah kepada orang yang pernah bertanding.  Keterujaannya tidak berhenti hanya satu titik.  Kepada ibu ayah di luar sana, bolehlah dapatkan karya ini untuk dijadikan bahan bacaan kepada anak-anak.  Semoga bermanfaat buat mereka.

Karya yang sesuai dibaca oleh para remaja di luar sana untuk memotivasi diri. 

BAGAIMANA MENDAPAT JALAN CERITA KUTEMUI SINAR ITU.




            Seperti naskah Aku Turut Bahagia dan Aduh, Pening! Saya kutip daripada kisah sebenar, begitu juga dengan KUTEMUI SINAR ITU,jalan ceritanya juga berasas daripada kisah sebenar yang terjadi kepada seorang kenalan saya.  Setiap kali bertemu dengannya, saya akan bertanya akan tugas hariannya sebagai Pengurus Masjid, ya… beliau seorang perempuan.  Kadangkala ceritanya membuatkan saya sakit hati, geram, marah, rasa hendak sepak sahaja para petugas masjid yang telah diamanah menjalankan tugas-tugas mereka mengimarahkan masjid.

            Ya! Benar, tugas seorang Imam adalah mengimamkan solat berjemaah, tetapi sebagai seorang yang tahu akan ilmu agama, bukankah menjadi tanggungjawab mereka juga untuk mengajak dan menyampaikan ilmu yang mereka ketahui kepada masyarakat?  Masjid juga bukan hanya menjadi tempat untuk bersolat semata-mata. 

            Saya mohon keizinannya untuk mengambil ceritanya bagi dijadikan novel sastera pertama saya.  Beliau memberi keizinan dengan syarat nama dan nama masjid saya ubah dan tidak dedahkan kepada umum.  Saya akur.  Apa yang saya paparkan di dalam naskah Kutemui Sinar Itu, bukan satu sandiwara atau ciptaan saya semata-mata. Hakikat sesetengah manusia yang diberi ilmu dan kefahaman tentang agama, tetapi sikap mereka jauh berbeza. Ya, ujian buat mereka, ujian juga buat kita sebagai hamba Allah swt.

            Dalam karya ini saya masukkan juga pengalaman saya dan suami berhadapan dengan para tenaga pengajar  yang mengajar di maahad-maahad tahfiz, ada yang demand, ada yang terlalu memilih, malas, tidak berminat dan tidak bersungguh-sungguh menyampai ilmu yang mereka ada.  Hakikat yang benar, biarpun pahit tetapi terpaksa ditelan.  Bukan ingin menjatuhkan sesiapa, tetapi untuk kita muhasabah diri dan membetulkan keadaan.

            Sewaktu menulis, saya berfikir apa intipati yang menarik untuk saya masukkan lagi. Akhirnya saya masukkan tentang penjualan tanah masjid.  Saya tanya kepada beliau, tidak salahkah saya masukkan intipati cerita tentang tanah masjid yang dijual.  Beliau melarang, kerana ada satu kes di mahkamah sedang dibicarakan, kes penjualan tanah wakaf masjid.  Terkedu saya seketika. Saya rujuk kepada sifu saya, sifu saya beritahu, selagi nama tempat tidak betul, dan hanya nama samaran, tiada siapa boleh saman.  Akhirnya naskah itu lengkap dan sempurna.  Semuanya atas bimbingan Puan Azmah Nordin yang banyak membimbing saya menjadi seorang penulis sastera.  

            Saya berharap kawan-kawan akan dapatkan naskah KUTEMUI SINAR ITU, kerana kisahnya adalah kisah kita juga.  Ceritanya berlegar di kalangan kita semua.  Semoga karya Islamik dan naskah sastera pertama saya ini bermanfaat buat semua.

Isnin, 24 April 2017

BAGAIMANA ADUH, PENING! DIREKA.



            Seorang penulis, jika mendengar cerita, dia tidak akan duduk sahaja, pasti idea mula bermain-main difikiran.  Begitu juga saya, ketika mendengar cerita seorang kawan tentang perkahwinannya yang dilanda badai.  Akal sudah mula menari-nari, kebetulan sedang mencari intipati novel ketiga.  Aduhai, pucuk dicita ulam mendatang, bukanlah hendak ambil keseluruhan cerita, tetapi sebagai asas untuk saya mula menulis cerita terkini untuk manuskrip terbaharu saya.

            Kisah apa ya?  Apalah yang saya hendak tuliskan?  Kawan saya itu ada masalah rumah tangga, suaminya sudah mula gila talak.  Orang lelaki gila talak, biasalah.  Kalau saya buat kisah rumahtangga juga, tetapi perempuan yang gila talak? Bagaimana agaknya ya?  Mulalah akal saya menyimpul jalan cerita. 
            Kisah seorang perempuan beranak lima gila talak dengan bekas suaminya yang sudahpun berkahwin lagi.  Itulah mula langkahnya bagaimana saya  mendapat idea menulis cerita untuk naskah ADUH, PENING!  Saya  sendiri yang menulisnya juga pening.  Bukan mudah untuk saya menulis sebuah kisah yang jarang-jarang berlaku, biarpun ada.  Ketika menulis satu cerita, para penulis bukan sahaja untuk mencari keseronokkan atau memberi kegembiraan berganda kepada para pembacanya tetapi juga ingin menurunkan nasihat buat para pembaca atau masyarakat di luar sana, jangan mudah untuk melafazkan cerai, apatah lagi ada anak-anak yang masih memerlukan belaian manja ayah dan ibu.
            Hati kita sakit, terus minta cerai, memang mudah.  Tetapi, lihatlah wajah-wajah kecil yang berada di sisi kita.  Apa nasib mereka? Hidup tanya kasih sayang seorang ayah atau ibu.  Kita? Mudahlah, sudah lepas beban di kepala lantaran sikap dan perangai yang menyakit pasangan kita sudah tidak lagi terlihat di mata. Kita sudah mampu menarik nafas lega.  Tetapi anak-anak? Pernahkan kita tanya akan perasaan mereka?    
       
            Itulah yang ingin saya sampaikan di dalam ADUH, PENING! Jika rumahtangga menghadapi masalah, cubalah selesaikan dengan baik.  Bersengketa, bermasam muka, perkara biasa dalam rumahtangga, tetapi janganlah sampai bercerai berai.  Jika ada cara untuk berdamai, usahakanlah.  Kasihanilah anak-anak.  Apapun yang ingin kita lakukan, tolonglah fikirkan masa hadapan anak-anak.  Sebagai seorang penulis, tiada satu pun karya yang ditulis tidak diselitkan pengajaran buat para pembaca di luar sana.  Tidak sedikit banyak, pasti ada.


Rabu, 19 April 2017

DARI MANA ASALNYA CERITA TOLONG CARI SUAMIKU



Setelah Aku Turut Bahagia diterbitkan, hati melonjak bahagia. Sehingga kepala kosong tidak tahu apa yang ingin saya tuliskan lagi.  Idea entah ke mana?  Kosong sekosong,kosongnya.  Kepala mula bingung.  Editor sudah mula bertanya akan naskah terbaharu, kerana karya yang telah diluluskan penerbitannya mengambil masa enam bulan pula untuk menjadi naskah bercetak dan  berada di kedai buku. Jika lambat menyiapkannya sudah pasti tiada buku di tahun seterusnya.  Bagaimana?
            Ketika itu saya sudah mempunyai blog yang telah dibina oleh seorang kenalan bernama Yong Linda atau Lin,  blognya cantik tetapi saya tidak pandai mengendalikannya. Sehinggalah saya bertemu dan berkenalan dengan Cikgu Monalita Mansor yang menjadi tenaga pengajar membina blog dan menulis karya kreatif.  Biarpun sudah bergelar penulis tidak semestinya saya pandai ke semua perkara.  Ada perkara yang kita tidak tahu dan perlu belajar.  Cikgu Monalita Mansor menjadikan blog saya hidup kembali dan aktif sehingga ke hari ini.  Terima Kasih cikgu.
            Salah satu latihan diberi  di dalam kelas membina blog adalah latihan catatan bergambar.  Saya mendapat sebuah gambar seorang perempuan sedang mendukung seorang anak, di dalam dewan yang dipenuhi oleh orang ramai.  Ketika itulah saya mendapat idea untuk memanjangkan catatan saya itu menjadi sebuah novel.  Kisah seorang perempuan yang kehilangan suaminya pada malam kawasan  rumahnya terbakar.  Di situlah bermulanya kisah TOLONG CARI SUAMIKU.

            Kelemahan saya adalah tidak pernah buat lakaran ketika menulis. Main bedal sahaja, asalkan menjadi sebuah cerita.  Lantaklah kau hendak jadi apa, itulah yang ada dalam kepala, sehinggalah siap manuskrip saya itu. Saya perjuangkan nasibnya dengan menghantar ke meja editor.  Dalam TCSK, saya masukkan thriller, kisah perebutan harta, penculikan, pembunuhan, pembunuh upahan.  Kalau tidak berhati-hati membacanya boleh pening kepala.
            Dari sebuah kisah kehilangan suami, sehinggalah menjadi senaskah karya thriller kekeluargaan.  Setiap penulis pasti akan berusaha mencari sesuatu yang menarik untuk diberi kepada para pembaca karya-karyanya, begitu juga saya.  Saya terus mengolah cerita di dalam TCSK sehingga saya sendiri berpuas hati dan Alhamdulillah, editor pun suka.  TCSK adalah karya kedua saya bersama Alaf 21.  Maka lahirlah ia pada tahun 2014 dengan megahnya.  Misai seperti misai Dato’ K, maka karya itu terus berlegar di kedai-kedai buku.
            Mencari kelainan dalam sesebuah karya bukannya mudah, kadangkala kita masih terpengaruh dengan cara karya sebelum ini, begitu juga TCSK, masih ada poligami tetapi tidak sekali.  Aduhai! Bukan suka poligami tetapi entahlah, terbawa-bawa dengan cara karya pertama.  Kali ini, saya menjadikan watak Mastura seorang yang tegas, cekal dan kuat, tidak selemah Ummi Khadeeja yang menyerah kepada takdir hidupnya.  Watak Katrina tidak sejahat Syifa Umaira’ akhirnya Katrina berubah menjadi manusia yang baik.  Tetapi saya jadikan watak pembantu, iaitu ibu kepada watak hero, sebagai watak antagonis yang akhirnya saya matikan dipengakhiran cerita. Tragis kematiannya, hendak tahu bagaimana menemui ajalnya? Maka, jika terjumpa buku Tolong Cari Suamiku, belilah ya. Adakah Mastura berjaya menemui suaminya yang hilang?  Terjawab di dalam TCSK.