Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 29 November 2016

KERANA NILA SETITIK, ROSAK SUSU SEBELANGA

KERANA NILA SETITIK, ROSAK SUSU SEBELANGA!


Peribahasa yang sepatutnya kita guna pakai sehingga ke hari ini. Apa sahaja yang kita buat, kita perhatikan kesannya kepada orang lain. Kenapa ada kesan? Cuba perhatikan satu persatu dan fikir-fikirkan.

1) Buat pinjaman untuk perniagaan, tetapi tidak bayar pinjaman yang dibuat- akibatnya, pihak bank lebih berhati-hati dilain masa atau mengenakan syarat yang lebih ketat bagi mereka yang ingin membuat pinjaman bagi memulakan perniagaa.


2) Pinjaman PTPTN - tidak dibayar, maka orang selepasnya akan dikenakan syarat yang ketat juga dan susah untuk mendapatkan pinjaman.


3) Berniaga online tak jujur - maka semua perniagaan online dicop mempunyai sikap yang sama. Padahal yang berbuat onar hanya beberapa individu sahaja, tapi kerana nitizen sakit hati, marah dan berasa tertipu maka orang yang berniaga dengan jujur, ikhlas dan memang ingin mencari rezeki yang halal turut terkesan dengan perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab.


4) Seorang artis berbuat onar - Masyarakat terus menganggap semua artis mempunyai sikap yang sama, jahat, kaki kelab malam, kaki minum, tidak solat, suka berfoya-foya. Sedangkan ramai artis yang baik, berlakon kerana hendak menambah pendapatan.


5) Penulis lucah atau karya picisan - Oleh kerana sebuah buku yang telah dibaca oleh seorang pembaca terbaca buku yang meloyakan, menjijikkan, mengajar perkara yang bukan-bukan, maka, semua penulis dituduh menghasilkan buku seperti itu. Padahal banyak lagi buku-buku yang baik dan bermutu berada di pasaran.


6)Perempuan bertudung gedik lebih- Setiap perempuan Islam wajib menutup aurat, tidak kiralah saiz s, M, L, ata XL, atau berpurdah sekalipun, seharusnya, sewajibnya menjaga adab dan akhlak, biarlah tinggi rasa malu kita, biarlah tidak popular di muka buku, asalkan popular di hadapan Allah nanti. Kerana sikap gedik sesetengan mereka, maka ramai yang disangka bersikap begitu.


7) Seorang polis makan rasuah - Maka seluruh kontinjen boleh terpalit dituduh mengamalkannya.


Banyak lagi sebenarnya, tidak tersenarai rasanya. Apa sahaja yang kita lakukan, tolonglah, lihatlah, fikirlah sejenak kepada orang lain. Mungkin mereka saudara mara kita, adik beradik kita yang akan memerlukan apa sahaja perkara, keperluan suatu hari nanti. Kita hidup bermasyarakat, bukan sendiri-sendiri. Waktu hidup dan bernyawa, bolehlah bangga diri, bila dah mati nanti, siapa yang akan mengkafan, menyembayangkan, menanam? Bukankah masyarakat juga?


Jadilah orang baik, kerana kita tidak akan rugi apa-apa!

Rabu, 23 November 2016

JALAN PULANG -BAB 20- ASMAH HASHIM



Haji Shukri menggeleng kesal.  Salmah masih marah rupanya.  Wajah kusut anak buahnya dipandang seketika.  Inilah bahananya jika mengikut hawa nafsu.  Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.  Sudahlah masih tidak sehat, tidak ada pula tempat tinggal.  Bak kata bidalan, sudah jatuh ditimpa tangga, berdebuk-debuk jatuhnya.
            “Kau tinggallah di sini Malek, kau bukan orang lain dengan pak su.  Takkan pak su nak biarkan kau merempat,” pelawa Haji Shukri
            “Tak apalah pak su, biarlah saya cari rumah atau bilik sewa. Malek menolak dengan baik.  Dia tidak mahu anak-anak pak sunya pula marah nanti.  Dia tahu, mereka juga tidak suka kepadanya.  Mana ada orang suka dengan bekas banduan.  Inilah natijahnya.  Caturan Allah buat hambanya yang lupa daratan.  Ujian pnghapus dosa-dosanya yang lalu. 
            “Ini kampung Malek, bukan mudah nak cari, lainlah di bandar sana,” ujar Haji Shukri
            “Nanti saya tanya kawan-kawan sekerja saya pak su.  Saya boleh saja tinggal dengan mereka, asalkan ada tempat berehat, cukuplah pak su,”  luah Malek.  Itu sahaja jalan yang dia ada.  Menumpang tinggal dengan rakan-rakan sekerjanya.  Biarlah sempit, asalkan ada tempat dia merehatkan diri.  Dalam keadaan dirinya yang masih belum sembuh sepenuhnya, dia tidak boleh memilih, perlahan-lahan dia akan cari rumah atau bilik yang sesuai untuk dirinya sendiri.
            “Bagaimana dengan tanah di hujung kampung tu pak su? Sudah selesai?” tanya Malek tentang tanah yang pernah menjadi sarang penagihan dadah. Kini, tanah itu sudah dibersihkan dan kawasan itu tidak lagi menjadi sarang penagihan dadah.
            “Pak su dah bertemu dengan wakil rakyat kampung ini, dia akan bantu kita membangunkan tanah itu macam yang kau cadangkan,” kata Haji Shauki.
            “Alhamdulillah, lega saya mendengarnya,”  jawab Malek dengan wajah ceria semula.
            “Kau dah buat laporan polis tentang orang yang pukul kau tempohari?” tanya Haji Shauki.
            Malek menggeleng.  Bagaimana dia nak buat laporan, sedangkan dia tidak nampak wajah-wajah mereka yang memukulnya.  Macam mana pihak polis nak siasat? 
            “Kau tak boleh biarkan penjenayah seperti itu terlepas, nanti semakin bermaharajalela!” kata Haji Shauki tegas.
            Malek masih membisu, dia juga dahulu penjenayah, detik hati kecilnya. 
            “Malek!” tempik Haji Shauki, geram. 
            “Nak buat laporan polis macam mana pak su?  Wajah mereka pun saya tak nampak, saya nak beritahu pihak polis apa?” jawab Malek serius.  Dia melepaskan keluhan.
            Haji Shauki menggeleng kesal. 
            “Pak su ingat kau jaguan sangat!”  perli Haji Shauki.
            Malek tersenyum.
            “Dulu jaguanlah pak su, sekarang dah tua dan pencen,” ujar Malek sambil tersenyum.
            “Entahlah Malek, pak su nak kau berhati-hati, mana tahu mereka masih dendam dengan kau,”  nasihat Haji Shauki.
            “Insya-Allah pak su,” jawab Malek.
            “Kau duduklah sini dulu, nanti kita fikirkan jalannya,” pelawa Haji Shauki.
            Malek memandang wajah bapa saudaranya itu tidak berkedip.  Kerisuan tetap bertandang, biarpun orang tua itu bukan orang lain dengannya. 
            “Dengar tak?”  soal Haji Shauki.
            Malek mengangguk perlahan.  Hatinya berbelah bahagi.
            “Pergilah berehat Malek, kau tu baru keluar hospital,”  suruh Hajah Rokiah yang baru sahaja keluar dari salah satu bilik yang terdapat di rumah itu.
            “Terima kasih mak su,” ucap Malek, serba salah jadinya. Masih memikirkan tentang mulut orang.  Terutama anak-anak pak sunya.  Kebimbangan tetap bertandang, rasa rendah diri semakin menebal. Siapalah dia di mata mereka, hanya sampah masyarakat yang membebankan.  Keluhan dilepaskan, terasa sesak dadanya.  Hiba mengusik diri. Baru hari ini dia terasa hidup sepi tanpa keluarga, baru terasa betapa hinanya diri di mata manusia.  Dia seperti najis yang menjijiknya, boleh dipandang, tak boleh disimpan atau dipegang. 
            Perlahan-lahan Malek bangun menuju ke bilik yang disediakan.  Dia melangkah masuk, bilik itu tidak terlalu besar, ada sebuah katil kelamin, sebuah almari pakaian, tempat menyangkut sejadah dan tuala, almari solek dan sebuah meja tulis.  Mungkin bilik anak-anak pak sunya.  Haji Shauki mempunyai lima orang anak, semuanya lelaki dan sudah merantau ke bandar, masing-masing mempunyai pekerjaan yang bagus, semuanya kelulusan universiti tempatan. Bijak-bijak semuanya.
            Malek duduk di katil.  Lengannya yang masih berbalut dipandang seketika.  Dia perlu bekerja untuk menyara dirinya sendiri.  Majikannya masih mahu menerima dia bekerjakah?  Sudah tiga empat hari dia bercuti.  Kerja sebagai pengawal keselamatan, ada kerja, ada gaji.  Kalau dia tidak bekerja, gajinya akan dipotong oleh  pengurus kilang tersebut.    Badannya benar-benar terasa letih.  Bertambah sakit dengan masalah yang menimpa.  Bukan mudah hendak menjadi baik dan diterima oleh masyarakat rupanya, bagi orang seperti dirinya.  Bekas banduan. Dia cuba melelapkan mata, namun dosa semalam sering menghantui diri.
            “Oi! Cepatlah keluarkan duit dari peti besi tu! Kau tengok apa?” marah lelaki yang bertopengkan sarung kaki perempuan ke arah Malek yang sedang memandang dengan penuh berahi anak gadis perempuan rumah yang mereka rompak.
            “Cantik betullah budak ni!” kata Malek sambil menyengih.  Mukanya juga ditutup dengan sarung kaki perempuan.  Gadis yang baru diikatnya tadi berbaju tidur.  Dia menelan air liur sendiri.
            “Kau jangan main gila!  Cepat kita ambil, cepatlah kita keluar!” kata kawannya itu.
            “Kejap aje, tak lama!”  jerit Malek, gadis itu dicempungnya.  Malek menyeringai. Dia hilang pertimbangan dan kewarasan, lupa diri, lupa segala-galanya.  Kerana nafsu serakahnya, malam itu menjadi malam jahanam buatnya.  Dia tertangkap. 25 tahun di penjara. 
            Segalanya bertayangan di ruang fikirannya.  Menyesal?  Sudah tentu dia menyesal, kalaulah dia tidak mengikut hawa nafsu, sudah tentu kehidupannya tidak seperti sekarang.  Mungkin dia sedang berbahagia dengan anak dan isterinya.  Salmah, gadis yang dikahwini atas pilihan keluarga, seorang isteri yang baik tetapi disia-siakan.  Inilah natijahnya hidup tidak berpanduan, bukan salah orang tuanya, tetapi salah sendiri, tidak bijak memilik, tidak bijak mengatur, akhirnya tersalah jalan dan terbabas.    Semoga Allah swt sudi memandangnya. Hanya itu sahaja yang diharapkan.

Jumaat, 18 November 2016

JALAN PULANG - BAB 19 - ASMAH HASHIM



Suara burung merbuk yang sedang bermain-main di laman rumah membuatkan Zakuan tersenyum riang.  Pasangan merbuk itu sering mencari rezeki di celahan rerumput yang tumbuh segar di laman rumah yang terjaga rapi.  Zakuan melangkah keluar dari perut kereta.  Dia mengeliat, menegangkan kembali urat-urat pinggang yang terasa sengal dan lenguh, tidur dalam keadaan duduk sewaktu menemani ayahnya malam tadi.  Dia melangkah menuju ke arah rumah.  Daun tingkap nako sudah terbuka, membenarkan udara segar menyingah masuk.
            Daun pintu yang tidak berkunci ditolak perlahan.  Dia menjengahkan kepala dahulu, tiada sesiapa di ruang tamu.  Kaki kanan melangkah masuk, diikuti kaki kiri pula.  Belum sempat dia mengalihkan tubuh, sebutir suara menyapanya.
            “Dari mana?  Pagi ini baru balik?”  Salmah berdiri di muka pintu biliknya yang berhadapan dengan ruang tamu. Matanya tajam memandang wajah anak bujangnya itu, panggilan telefon tidak berjawab.  Tiada berita disampaikan, menunggu sehingga kesiangan, bayangan anak itu tetap tidak kelihatan. Berkecamuk hati dan fikirannya sepanjang malam, melawan rasa resah, bimbang dan tidak keruan silih berganti.  Menunggu dengan sabar panggilan daripada anak tersayang. Akhirnya mata tertutup, terjaga ketika azan subuh berkumandang.
            “Wan…”  Zakuan diam sejenak. Cerita apa yang perlu diberitahu?  Dia tidak pernah berbohong, ibunya pantang jika dia berbohong, dan dia tidak diajar berbohong.           
            Salmah mendekati anak sulongnya.  Wajah itu dipandang seketika.  Dia beralih melangkah ke arah sofa dan terus melabuhkan punggung.  Dia berpeluk tubuh.  Matanya masih melekat pada wajah Zakuan, mengharap jawapan daripada anak muda itu.
            “Wan kemana?” tanya Salmah sekali lagi.
            “Wan teman ayah di hospital, ibu,” jawab Zakuan jujur.
            Salmah menarik nafas panjang.  Dia mengetap bibir.  Panggilan ‘ayah’ seperti panggilan maut buatnya, pedih dan menyakitkan.  Layakkan lelaki yang tidak bertanggungjawab itu dipanggil ayah?  Layakkah dilayan baik dan sesantun itu? 
            “Kenapa dengan Wan ni?  Kenapa tidak dengar langsung cakap ibu!” bentak Salmah kegeraman, geram, marah, sakit hati, semuanya dirasakan. 
            “Ayah sakit ibu, salahkah Wan bantu ayah?” soal Zakuan, bukan menidakkan kata-kata ibunya, tetapi dia tidak pernah menyimpan dendam pada ayahnya itu. Malek tetap ayahnya biar buruk pun layanan lelaki itu terhadap dia dahulu.
            “Sakit ibu?  Sakit hati ibu? Bagaimana?” soal Salmah keras.  Dia menumbuk-numbuk dadanya.  Menahan sebak yang mula menyentap jantung hatinya.  Berdengung rasa telinganya kepanasan mendengar kata-kata Zakuan tadi.
            “Ibu, buanglah dendam ibu itu.  Wan tak nak kita jadi manusia yang pendendam, selama ini ibu mengajar perkara yang baik-baik sahaja pada kami adik beradik.  Kenapa susah sangat ibu nak maafkan ayah? Berilah ayah peluang  kembali menjadi insan yang berguna, ayah dan bertaubat ibu, ayah bukan seperti dulu lagi,”  terang Zakuan.
            “Kau tak tahu kesakitan yang selama ini ibu tanggung, Wan! Keperitan dan kepedihannya tidak kau rasakan! Ibu yang tanggung semuanya!” bentak Salmah. Apa yang anaknya itu tahu?  Dia yang menanggung segala-galanya.  Penghinaan yang tidak pernah surut, kata-kata keji dan umpatan silih berganti. Tidak mampu dia ucapkan keparahan hatinya itu.  Luka yang tidak sukar untuk sembuh.  Sakitnya tidak mampu diubati dengan menelan ubat tahan sakit.  Sakit yang tidak ubatnya. 
            Zakuan mendekati ibunya, duduk berteleku, mengenggam erat jari jemari ibunya.
            “Ibu tetap ibu Wan.  Hati Wan tidak pernah  berubah, tetap sayang ibu.  Tapi, Wan takkan wujud tanpa ayah.  Wan tidak mahu berdendam dengan ayah, fahamilah perasaan Wan, ibu,” rayu Zakuan. Dicium telapak tangan itu bertalu-talu.  Air matanya gugur di pipi.  Hatinya hiba, jiwanya sendu, kedua-duanya orang terpenting dalam hidup.  Tanpa mereka dia tidak akan dapat melihat dunia.  Kenapa dia harus dan terpaksa memilih satu antara dua? Sedangkan dia boleh memiliki dan menyayangi serta berbakti kepada kedua-duanya.
            “Ibu tak mampu menerima lelaki itu, Wan tak faham ke?” herdik Salmah sekali lagi.  Ya, hatinya keras, hatinya sakit, jiwanya terseksa, tidak mungkin dapat diubati.  Semakin dia melihat wajah itu, kenangan silam pasti menerja dalam fikiran. Mengganggu tidur malamnya, menerpa masuk dalam mimpinya.  Kenapa anaknya itu tidak mahu memahami? Tangan direntap kasar. Rajuknya semakin panjang, sakit hatinya semakin dalam.  Salmah bingkas bangun.
            “Ibu tidak mahu Wan jadi anak derhaka. Wan pilih antara  ibu dan lelaki itu.  Ibu tak nak Wan rapat dengan dia, begitu juga Zara! Faham tak!” jerkah Salmah. Nafasnya turun naik. Dia menekan dada kirinya terasa perit.  Dia mendengus kasar.  Langkah diatur terus menghilang ke dalam bilik, daun pintu dihempas kuat. Gedegang!
            Zakuan beristighfar berkali-kali, rajuk ibunya sukar dipujuk.  Dia bingkas bangun dan duduk di sofa, wajahnya keletihan, sudahlah tidurnya tidak menentu malam tadi, ingatkan sudah sampai rumah boleh berehat, melelapkan mata yang kantuk dan merehatkan tubuh yang letih.  Dia hanya mampu mengeluh dan mengeluh melihat sikap amarah ibunya terhadap ayahnya, Malek.
            Zakuan menyandar di sofa. Otaknya berjalan memikirkan cara bagaimana untuk memujuk hati ibunya agar mampu memaafkan.  Tiada jalan, tiada daya dan upaya hanya kepada Allah dia berharap dapat mengubah hati ibunya.    
            Petang nanti baharu dia ke hospital semula melawat ayahnya.  Ibu?  Biarlah melawan rajuknya, nanti akan sejuk sendiri.  Itulah Salmah, ibunya yang mudah  merajuk dan mudah sejuk, tapi tidak dalam hal ayahnya, Malek. Dendam kesumat tidak pernah padam.  Keperitan yang lalu masih mencengkam kuat di hati ibu tua itu.  Tertanam kukuh, berakar tungjang, tiada siapa yang mampu mencabutnya.  Hanya doa yang dipanjatkan, agar segalanya berubah, begitu juga hati ibunya yang sekeras batu itu.
            Zakuan melangkah menuju ke biliknya.  Berhenti sebentar di hadapan bilik ibu, menahan rasa sebak seketika.  Maafkan Wan ibu, detik hati kecilnya.  Bukan bermaksud ingin menyakiti, bukan ada niat untuk melawan.  Tetapi Wan ingin menjadi anak yang berbakti, meraih cinta Ilahi melalui ayah dan ibu, bisik hatinya lagi. Langkah disambung semula menuju ke biliknya yang hanya sebelah bilik ibunya.