Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 28 September 2013

INTAN DELAILA -SITI ROZILAH

BAB 4

MATAHARI mencarak di kepala. Sinarnya menyengit dan memeritkan kulit halus si gadis berkurung merah bata berbunga tabur itu. Dia kelihatan gelisah. Acapkali dia mengelap peluh yang merenik di wajahnya dengan tisu sehingga ronyok tisu terakhir itu dikerjakannya. Rambutnya yang tadi dibiarkan lepas kini telah diikat ekor kuda.
Urusan di bahagian pendaftaran ternyata mencabar kesabarannya. Hampir satu jam setengah dia terpaksa beratur daripada mula sehinggalah selesai segala urusannya. Selepas segala urusan pembayaran di buat dan kunci bilik asramanya diperolehi, barulah fuh... dia mampu menarik nafas lega.
Zarinna yang menantinya di luar dewan itu juga kelihatan gelisah. Kulitnya yang putih melepak telah mula kemerahan akibat tidak tahan dibakar kepanasan matahari. Papanya pula kelihatan tenang menunggu di bawah redup sepohon pokok kecil, jauh daripada simpang-siur manusia yang pelbagai ragam dan kerenah.
“Tak ada yang pengsan ke kat dalam dewan tu, Mel?” soal Zarinna kepada anak gadisnya sebaik-baik sahaja Camelia tercongol di hadapan matanya. Wajah anaknya yang putih bersih itu juga telah kemerah-merahan menerima tujahan cahaya matahari.
“Kalau setakat beratur panjang kat dewan pendaftaran dah pengsan-pengsan dan tak tahan diuji, mama rasa mereka sesuai ke jejakkan kaki ke menara gading macam ni?” hempuk Camelia walaupun dia sendiri terasa seperti hendak pitam berlamaan berdiri di dewan itu tadi.
Zarinna cebik bibir.
“Bukan main lagi anak mama ni!” getusnya.
“Mel cakap yang betul, ma. Ni baru dugaan yang seciput, terpaksa beratur panjang di hari pendaftaran pelajar baru, belum lagi masuk ke dewan kuliah dan berdepan dengan pensyarah dan pelajaran yang entah bagaimana pula sukarnya.” Sahut Camelia seolah-olah dia adalah orang yang paling gagah dan bersemangat di hari bersejarah tersebut.
Zarinna terkerisin.
“Bersemangat nampaknya anak mama ni. Jangan di hari pendaftaran aje bersemangat setinggi Everest Mel, hari-hari yang mendatang pun harus bersemangat macam ni tau.”
Bebelan yang macam ni yang buat aku lemah ni, desis hati Camelia.
“Yelah, mama. Anak gadis mama ni akan ingat pesanan mama tu!”
“Macam tulah anak mama. Mama harap Mel akan berjaya dalam pengajian Mel ni. Ingat... semua ni baru permulaan, jauh lagi perjalanan Mel kat sini nanti. Dan banyak dugaan serta cabaran yang akan Mel tempuhi kelak. Mama rasa anak gadis mama dah cukup matang untuk menangani apa juga masalah yang mendatang, betul tak Mel?” kata Zarinna sambil memeluk tubuh anak gadisnya.
Camelia terpaksa membalas pelukan itu walaupun masya-Allah, tak tertahan hangatnya berbaju kurung merah bata di bawah naungan sinar matahari Khatulistiwa tersebut.
Dalam orang lain kegelisahan dek hawa panas yang menyelubungi persekitaran, Syed Zahari kelihatan selamba saja. Dia tersenyum ke arah anak isterinya yang melangkah menghampirinya.
“Pa, lepas ni kita hantar Mel ke kolejnya. Saya dah telefon Zukry dan dia kata dia akan jumpa kita kat sana. Dia pun sibuk di fakultinya untuk buat pendaftaran mata pelajaran.” Beritahu Zarinna.
Syed Zahari hanya mengangguk. Mereka bertiga melangkah pantas menuju ke tempat letak kereta.
Kolej kediaman yang bakal dihuni oleh Camelia terletak tak jauh dari situ. Tak sampai lima minit, mereka telahpun berdiri di perkarangan kolej tersebut. Rupa-rupanya kesibukan di dewan pendaftaran tadi mengekori mereka sehingga ke kolej. Kelihatan para siswi bersama ibu bapa dan keluarga masing-masing sibuk mengangkat beg-beg besar dan segala macam keperluan lain untuk dibawa ke kolej mereka. Almaklumlah, kolej itu nanti akan menjadi rumah kedua mereka menggantikan rumah yang telah ditinggalkan.
Camelia beruntung kerana dia masih mendapat kemudahan kolej kediaman walaupun asalnya dia adalah golongan berada. Mungkin kemudahan asrama ini akan ditarik balik di semester kedua nanti. Pun begitu dia tidak mahu memikirkan semua kemungkinan tersebut.
Sambil melirikkan matanya ke arah tiga blok bangunan yang setinggi tiga tingkat itu, dia sempat memikirkan siapakah gadis yang bakal mengongsi bilik dengannya nanti. Mampukah dia menyesuaikan dirinya dengan gadis tersebut kelak? Bagaimanakah rupa wajah, sikap dan pembawaannya? Kalau minah kampung yang asyik berbaju kurung dan berkebarung ke sana sini macam mana? Dan soalan-soalan nakal itu datang bertubi-tubi ke fikirannya ketika papa dan mamanya sibuk mengeluarkan beg besarnya dari dalam bonet kereta.
“Mana abang ni? Mel dah penatlah, ma!” dengusnya yang terduduk di tepi parit. Beg pakaian dan barang-barang peribadinya berlonggok di hadapannya.
“Sabarlah, sayang. Dia sibuk lagi agaknya.” Jawab Zarinna.
“Cuba call dia sekali lagi, ma.” Kata Syed Zahari.
“Ha, tu pun abang dah sampai, ma!” jerit Camelia tatkala terlihatkan kelibat motosikal berkuasa tinggi Zukry yang sedang menuju ke arah mereka.
Zukry yang tinggi lampai itu kelihatan hebat. Dia melangkah turun dari motosikalnya. Begitu juga dengan seorang pemuda kacak yang turut membonceng di belakangnya.
“Hai, Camel! Merah muka nampak.” Usiknya ke arah Camelia. Anak gadis itu menarik muka masam.
“Apa khabar, ma, pa? Sorry sebab terlambat sikit.” Katanya sambil bersalam dan mencium tangan papa dan mamanya.
“Macam mana urusan di bahagian pendaftaran tadi?”
“Semuanya okey. Tapi Mellah yang paling penat sebab terpaksa beratur lama.” Zarinna menjawab.
“Biasalah tu, yerk! Kalau beratur kat dewan daftar dah tak larat, balik rumah aje lagi baik, betul tak Camel!”
“Eh, apa abang ni! Jangan panggil Mel macam tulah.” Dengus Camelia. Dia malu pada jejaka kacak yang berdiri di sisi abangnya itu.
Syed Zahari dan Zarinna saling berpandangan. Begitulah keadaannya kalau Camelia dan abangnya telah berjumpa, mereka bagaikan anjing dengan kucing. Pun begitu kemesraan mereka sebagai adik beradik kandung tetap terserlah.
Pemuda yang belum diperkenalkan namanya itu pula hanya tersenyum melihatkan wajah Camelia yang putih bersih itu telah berubah warna. Kemerahan!
“Apa salahnya kalau abang panggil adik abang ni, Camel? Tengok camel kat padang pasir tu, kuat tak, gagah tak bawa barang-barang kat belakangnya? Camel tu tahan panas tau, tak macam Camelia di depan abang ni!” Zukry tidak habis-habis mengusiknya.
Camelia terjerit-jerit kerana abangnya menyamakan dirinya dengan unta di padang pasir.
“Dah, sudah-sudahlah tu! Tak baik panggil Mel macam tu tau, Zukry. Papa tak suka.” Syed Zahari segera campur tangan.
“Err... Zukry minta maaf, pa. Zukry gurau aje dengan Mel ni. Err... lupa lak nak kenalkan kawan sekuliah Zukry, ni Irfan.” Anak muda itu memperkenalkan Irfan kepada mereka bertiga.
Tatkala Camelia menghulurkan tangannya untuk bersalaman dan pandangan mereka berlaga; Irfan bagaikan terpaku memandang mata kecoklatan gadis tersebut.
Isy, apehal mamat ni tenung-tenung aku macamlah nak telan, desis hati gadis itu sambil segera menarik tangannya dari genggaman Irfan

INTAN DELAILA - SITI ROZILAH

BAB 3

INTAN DELAILA bergegas menuju ke kaunter pendaftaran. Ternyata ramai siswa-siswi telah mendahuluinya. Ada yang mungkin datang sejauh Sabah dan Sarawak semata-mata untuk menuntut ilmu bagi bekalan di hari muka dan menaikkan taraf hidup masing-masing. Sabda junjungan kita, tuntutlah ilmu walau sampai ke negara Cina.
Matahari bersinar garang walaupun waktu ketika itu baru mencecah ke angka sepuluh pagi. Sambil mengatur langkah, Intan Delaila sempat menyaksikan pelbagai ragam para pelajar baru yang beratur panjang di beberapa barisan untuk membuat pembayaran pendaftaran masuk ke fakulti. Ada yang kelihatan berbual sesama sendiri, ada yang gelisah kerana mungkin telah terlalu lama menunggu dan seribu satu macam gaya dan cara.
Tetapi Intan Delaila pasti, mereka yang sedang beratur untuk melunaskan bayaran di kaunter itu membawa sama segunung harapan dan azam untuk berjaya dalam pengajian masing-masing kelak. Mereka tentu seperti dirinya juga yang berkobar-kobar dengan semangat.
Dalam melayan arus imaginasinya itu, tiba-tiba dia merasa dirinya dirempuh dari belakang dengan agak kuat sehingga dia terdorong ke hadapan. Mujur dia dapat mengimbangi badannya lalu menoleh ke belakang.
“Err... saya minta maaf, saudari. Tak sengaja!” kata seorang pemuda di belakangnya.
Walaupun sakit hatinya dirempuh-rempuh begitu tapi dia hanya mampu mengangguk.
“Saya, Iman. Iman Daniel.” Tanpa dipinta pemuda itu memperkenalkan dirinya sambil menghulurkan tangan ke arah Intan Delaila.
Intan Delaila teragak-agak untuk menyambut huluran tangan daripada manusia yang baru dikenalinya itu. Tetapi dia tak mahu dianggap biadap lalu tangan Iman Daniel disambutnya juga dengan senyuman.
“Intan Delaila.” Getusnya, memperkenalkan diri.
Mata Iman Daniel melekat teguh ke wajah bujur sirih Intan Delaila. Senyuman yang masih berlegar di bibir yang berkilat akibat dielus lip balm, kelihatan amat manis dan menawan.
“Selamat berkenalan, Intan Delaila.”
“Selamat berkenalan. Panggil saya Delaila aje.” Ujarnya.
“Dah lama beratur kat kaunter ni?” soal Iman Daniel.
Intan Delaila menoleh jam di lengannya.
“Dah hampir dua puluh minit.” Sahutnya sambil tergelak.
Iman Daniel turut ketawa.
“Apa nak buat, kan... sabar ajelah. Bukan seorang dua pelajar yang berbaris untuk mendaftar hari ni. Dengar ceritanya kaunter pendaftaran akan dibuka sehingga esok.” Iman Daniel bercerita.
“Iye?” tukas Intan Delaila. Tak hairanlah kenapa kaunter pendaftaran terpaksa dibuka sehingga esok kerana jumlah pelajar yang hendak mendaftar masuk memakan angka ribuan orang.
Tiba ke gilirannya, Intan Delaila segera membuat pembayaran. Selepas itu tanpa menoleh ataupun mengucapkan selamat tinggal pada teman pertama yang menegurnya di dewan yang mulia itu, dia bergegas keluar untuk mencari ayahnya.
“Dah selesai ke, Delaila?” soal Encik Samad sebaik saja dihampiri oleh anak gadisnya.
“Dah, ayah.”
“Lepas ni kita ke mana pulak?”
“Kita kena ke kolej untuk simpan barang. Kunci bilik pun dah dapat ni.” Katanya sambil memperagakan kunci bilik yang baru sahaja diserahkan oleh petugas di kaunter tadi kepada ayahnya.
Encik Samad mengangguk. Kedua beranak itu bergegas pula menuju ke kereta yang diletakkan agak jauh dari dewan pendaftaran tersebut.
Salam Karya. Setelah lama tak mengepos, pagi ni mengepos balik. Jom baca...

3

INTAN DELAILA bergegas menuju ke kaunter pendaftaran. Ternyata ramai siswa-siswi telah mendahuluinya. Ada yang mungkin datang sejauh Sabah dan Sarawak semata-mata untuk menuntut ilmu bagi bekalan di hari muka dan menaikkan taraf hidup masing-masing. Sabda junjungan kita, tuntutlah ilmu walau sampai ke negara Cina.
Matahari bersinar garang walaupun waktu ketika itu baru mencecah ke angka sepuluh pagi. Sambil mengatur langkah, Intan Delaila sempat menyaksikan pelbagai ragam para pelajar baru yang beratur panjang di beberapa barisan untuk membuat pembayaran pendaftaran masuk ke fakulti. Ada yang kelihatan berbual sesama sendiri, ada yang gelisah kerana mungkin telah terlalu lama menunggu dan seribu satu macam gaya dan cara. 
Tetapi Intan Delaila pasti, mereka yang sedang beratur untuk melunaskan bayaran di kaunter itu membawa sama segunung harapan dan azam untuk berjaya dalam pengajian masing-masing kelak. Mereka tentu seperti dirinya juga yang berkobar-kobar dengan semangat.
Dalam melayan arus imaginasinya itu, tiba-tiba dia merasa dirinya dirempuh dari belakang dengan agak kuat sehingga dia terdorong ke hadapan. Mujur dia dapat mengimbangi badannya lalu menoleh ke belakang.
“Err... saya minta maaf, saudari. Tak sengaja!” kata seorang pemuda di belakangnya.
Walaupun sakit hatinya dirempuh-rempuh begitu tapi dia hanya mampu mengangguk.
“Saya, Iman. Iman Daniel.” Tanpa dipinta pemuda itu memperkenalkan dirinya sambil menghulurkan tangan ke arah Intan Delaila.
Intan Delaila teragak-agak untuk menyambut huluran tangan daripada manusia yang baru dikenalinya itu. Tetapi dia tak mahu dianggap biadap lalu tangan Iman Daniel disambutnya juga dengan senyuman.
“Intan Delaila.” Getusnya, memperkenalkan diri.
Mata Iman Daniel melekat teguh ke wajah bujur sirih Intan Delaila. Senyuman yang masih berlegar di bibir yang berkilat akibat dielus lip balm, kelihatan amat manis dan menawan.
“Selamat berkenalan, Intan Delaila.”
“Selamat berkenalan. Panggil saya Delaila aje.” Ujarnya.
“Dah lama beratur kat kaunter ni?” soal Iman Daniel.
Intan Delaila menoleh jam di lengannya.
“Dah hampir dua puluh minit.” Sahutnya sambil tergelak.
Iman Daniel turut ketawa.
“Apa nak buat, kan... sabar ajelah. Bukan seorang dua pelajar yang berbaris untuk mendaftar hari ni. Dengar ceritanya kaunter pendaftaran akan dibuka sehingga esok.” Iman Daniel bercerita.
“Iye?” tukas Intan Delaila. Tak hairanlah kenapa kaunter pendaftaran terpaksa dibuka sehingga esok kerana jumlah pelajar yang hendak mendaftar masuk memakan angka ribuan orang.
Tiba ke gilirannya, Intan Delaila segera membuat pembayaran. Selepas itu tanpa menoleh ataupun mengucapkan selamat tinggal pada teman pertama yang menegurnya di dewan yang mulia itu, dia bergegas keluar untuk mencari ayahnya.
“Dah selesai ke, Delaila?” soal Encik Samad sebaik saja dihampiri oleh anak gadisnya.
“Dah, ayah.”
“Lepas ni kita ke mana pulak?”
“Kita kena ke kolej untuk simpan barang. Kunci bilik pun dah dapat ni.” Katanya sambil memperagakan kunci bilik yang baru sahaja diserahkan oleh petugas di kaunter tadi kepada ayahnya.
Encik Samad mengangguk. Kedua beranak itu bergegas pula menuju ke kereta yang diletakkan agak jauh dari dewan pendaftaran tersebut.

INTAN DELAILA - SITI ROZILAH

 BAB 2
INTAN DELAILA meninggalkan ruang biliknya dengan perasaan sayu. Dua buah beg besar telah berada di ruang tamu, ayah yang mengangkat dan meletakkannya di sana sementara menanti dia bersiap.
Dia kelihatan ayu dengan baju kurung biru tersarung di tubuh tinggi lampainya. Dia memilih kurung biru untuk dipakai pada hari bersejarah tersebut kerana nilai sentimentalnya. Walaupun telah agak lama tersimpan di dalam almari, namun kurung tersebut adalah hadiah daripada arwah ibunya.
“Kita orang Melayu harus berbangga mengenakan baju Kebangsaan kita, Delaila,” kata-kata arwah ibu menusuk kembali ke sanubarinya.
“Kita harus megah... harus bangga menjadi orang Melayu. Kita harus berani membawa budaya dan semangat keMelayuan kita ke mana aje kita pergi.”
Begitulah nasihat ibunya yang memang terkenal sebagai seorang wanita yang mempunyai semangat patriotisme yang kuat. Malah dia telah dilatih oleh ibunya untuk memakai baju kurung dan kebaya ke tubuhnya, sejak kecil lagi. Kini, setelah alam kanak-kanak ditinggalkan, dia masih mengenakan baju kurung sebagai pakaian pilihannya. Di antara deretan baju kurung di dalam almari pakaiannya, dia memilih untuk mengenakan baju kurung biru itu ke tubuhnya.
Encik Samad memandang megah ke arah anak gadisnya yang melangkah keluar dari bilik. Wajah dan bentuk tubuh itu mengingatkannya kepada seseorang yang pernah menghangatkan asmaranya suatu ketika dahulu. Kini orang tersebut telah lama meninggal dunia, namun kenangan bersamanya masih kekal segar dan indah di sudut sanubari paling dalam. Kerana cinta pertama akan kekal sehingga mati!
Walaupun kini tempat arwah isterinya telah diambilalih oleh seorang wanita lain pula, tetapi mana mungkin dia melupai arwah isterinya.
“Wah, bukan main cantik lagi anak dara yang seorang ni!” kata-kata Puan Kalsom membuatkan kenangan Encik Samad terhadap hari-hari indah bersama arwah isterinya, terbang entah ke mana. Dia menoleh ke arah wanita yang kini berada di sampingnya... wanita yang juga bergelar isteri.
“Tengoklah siapa ayahnya!” dia berlagak.
Puan Kalsom mencebik. Intan Delaila hanya mampu tergelak kecil.
“Dah siap semuanya, Delaila?” soal Puan Kalsom.
Intan Delaila mengangguk.
“Kalau macam tu, marilah kita bertolak sekarang. Elok bertolak awal sikit dan sampai awal di sana. Entah-entah sekarang ni pun siswa-siswi baru dah mula beratur di meja pendaftaran.” Kata Encik Samad kepada anak gadisnya.
“Yelah, ayah.” Sahut Intan Delaila. Dia melangkah ke arah ibu tirinya lalu menyalam dan mencium tangan wanita itu.
Puan Kalsom membelai rambut Intan Delaila dengan sepenuh kasih sayang seorang ibu. Dada Intan Delaila terasa sejuk dengan belaian tersebut. Tetapi realitinya, sentuhan seorang ibu tiri tetap tak mampu menyamai sentuhan ibu kandung sendiri.
“Belajar rajin-rajin, tunaikan impian arwah ibu Delaila yang mahukan anak gadisnya yang seorang ni berjaya mencapai impian dan cita-citanya.” Nasihat Puan Kalsom.
Intan Delaila mengangguk. Dia bertolak keluar dari rumah itu dengan berbekalkan semangat serta impian untuk berjaya mencapai cita-citanya. Semangatnya ketika itu bulat, mungkin sebulat bumi.

CAMELIA melangkah turun dengan wajah cemberut. Zarinna dan suaminya memandang dengan mata tak berkelip ke arah si gadis yang kelihatan menawan berbaju kurung merah bata berbunga tabur warna putih.
Wajahnya yang masam mencuka tak mampu mengenyahkan keayuannya ketika itu.
“Cantiknya anak mama!” pujian ikhlas Zarinna hinggap ke copeng telinga Camelia.
Anak gadis itu menjelingnya dengan ekor mata. Hisy, garangnya!
“Wah, cantiknya Mel pakai baju kurung!” suara Mak Piah, pembantu rumah mereka yang digaji untuk khidmatnya di waktu siang hari sahaja, hinggap ke telinga mereka.
“Tengoklah anak gadis siapa, Mak Piah.” Sahut Zarinna. Ada nada bangga di hujung kata-katanya.
“Yelah, anak dara Puan Zarin dan Pak Syed katakan. Mestilah cantik!” puji Mak Piah lagi.
Syed Zahari tergelak lantang.
“Mak Piah ni kenapa, nak naik gaji lagi, ke? Setahu saya baru dua bulan lepas saya naikkan gaji Mak Piah.”
Mak Piah tergelak kecil.
“Tak adalah, Pak Syed. Mak Piah memuji ikhlas sebab Melia memang patut dipuji.” Kata wanita itu.
“Tupun bukan main susah nak paksa dia pakai baju kurung, Mak Piah.” Adu Zarinna.
Camelia membatu. Wajahnya masih lagi masam mencuka.
“Eh, sarapan dah Mak Piah siapkan. Melia nak tahu tak, Mak Piah masak apa hari ni?”
“Mak Piah masak apa? Nasi lemak sambal udang ke?”
“Iye! Makanan kegemaran Melia kan?”
“Yahoo!” Camelia melompat lalu bertempik.
“Hey, anak dara yang berbaju kurung akan hilang keayuannya kalau terlompat-lompat macam beruk tau!” hempuk Zarinna.
“Dah berbaju kurung macam tu, kenalah bersopan sikit!”
“Mama ni, bosanlah! Semuanya tak boleh.” Dengus Camelia sambil membuntuti Mak Piah ke dapur.
“Mel tak suka berbaju kurung kan? Tapi Mel suka makan nasi lemak kan?” desis Mak Piah ke telinga anak gadis manja itu.
Camelia mengerdipkan matanya.
“Tu tandanya lidah Mel masih lidah orang Melayu!” Mak Piah mengekel.
“Mak Piah, jangan naikkan darah Mel pagi-pagi buta ni boleh tak?”
Mak Piah menutup mulutnya dengan telapak tangan. Camelia tersenyum. Dia tak marah dengan segala usikan dan gurauan tersebut sebenarnya, tapi sengaja berpura-pura marah. Tinggal di rumah besar itu bersama mama seperti Zarinna dan pembantu rumah seperti Mak Piah, membuatkan telinganya telah lali dengan teguran dan sindiran mereka. Bak kata orang, telinganya dah jadi telinga kayu!
Semerbak nasi lemak yang wangi dan sambal udang yang merah menyelerakan membuatkan selera makan Camelia terbuka. Dia tambah dua pinggan nasi sehingga Zarinna riuh menegurnya.
“Kalau nak makan tupun ingat-ingatlah sikit. Nanti sakit perut pulak kat sana... susah nak rebut jamban dengan pelajar baru yang bukan sorang dua jumlahnya tu.” Katanya membuatkan Camelia mengambil keputusan untuk menghentikan suapannya.
Camelia, Zarinna dan Syed Zahari melangkah keluar dari perut banglo mereka setelah selesai bersarapan. Mereka bertiga sibuk memasukkan beg-beg Camelia ke dalam bonet kereta.
“Mama rasa Abang Zukry tunggu kita kat sana tak?” soal Camelia sambil mengelap peluh yang mercik di hujung hidung mancungnya dengan tisu.
“Manalah mama tahu. Tapi dah dekat-dekat nak sampai nanti, kita calllah dia. Mana tahu, mungkin dia pun sibuk juga untuk mendaftar mata pelajarannya. Almaklumlah semester baru...”
Camelia yang bersandar kemas di tempat duduk belakang kereta mewah itu hanya mengangguk. Fuh, lega rasanya dapat mencicip kedinginan hawa di dalam kereta berbanding dengan keadaan panas di luar sana tadi walaupun hari masih pagi.
Syed Zahari yang sempat menjeling tingkahlaku anak gadisnya melalui cermin pandang belakang, hanya mampu tersengih memanjang.
“Belajar rajin-rajin tau, Mel. Selain daripada abang kau, hanya Mel ajelah harapan mama dan papa.” Tutur Zarinna yang duduk di sebelah suaminya yang memandu.
“Mel tahulah, ma!”
“Jangan nak bercinta aje pulak nanti. Pelajaran lebih penting tau!”
“Mel tahu...”
Zarinna menoleh ke belakang, memandang anak gadisnya yang memiliki paras jelita itu. Sudah tentu dengan memiliki bentuk tubuh dan wajah yang begitu rupa, Camelia akan menjadi igauan kumbang-kumbang di kampusnya kelak. Dia tak kisah kalau anak gadisnya hendak bercinta. Tetapi adab susila sebagai gadis Timur harus dijaga. Tumpuan kepada pelajaran juga harus diutamakan. Itu yang lebih penting.
“Tapi jangan dah sampai kat sana nanti, Mel lupa semua nasihat mama.” Desis Zarinna.
“Apalah mama ni! Mel tahulah jaga diri. Lagipun sampai bila mama nak kurung Mel dalam banglo tu? Suatu hari nanti Mel akan terbang juga untuk melihat dunia luar.” Sahut Camelia semberono tanpa menyelami gelojak di hati seorang wanita bergelar mama.
“Dah, sudah-sudahlah bertekak tu. Awak ni pun ma, tahulah anak kita tu jaga diri.” Sampuk Syed Zahari sambil mengerling ke arah isterinya.
Camelia yang duduk di belakang hanya ketawa kecil. Suka hatinya apabila dimenangkan oleh papanya.
Sambil itu dia membayangkan bagaimanakah suasana baru yang bakal ditempuhinya nanti. Tentu ramai siswa-siswi baru sedang beratur untuk mendaftar diri di hari pendaftaran tersebut. Siapakah yang akan ditemuinya nanti? Dan siapakah yang akan menjadi teman-temannya di sana kelak?
Hmm... aku harap aku dapat menyesuaikan diri dengan suasana baru, di tempat yang baru, bersama orang-orang baru dan dengan semangat yang baru pula, desis hatinya dengan penuh harapan

Sabtu, 21 September 2013

CINTA DORAYAKI - IZZA ARIPIN



                TAJUK                   :               CINTA DORAYAKI (ISBN 9789831248775)
                PENULIS               :               IZZA ARIPIN
                PENERBIT             :               ALAF 21
                TERBITAN             :               2013
                MUKASURAT       :               581
                HARGA                 :               RM23.00
               
                                Pertama kali berjumpa penulis ini di jualan gudang tahun lepas.  Waktu itu hanya melihat sahaja karya beliau.  Jumpa buat kali kedua apabila novel  kami keluar dalam bulan yang sama.   Buat janjitemu untuk mengambil novel masing-masing di Alaf 21.  Ramah dan mesra orangnya.  Kalau tengok macam sombong rupanya tidak.  Seronok berbual dengan beliau.  Macam-macam cerita dan idea. 
                Ini karya  beliau yang ketiga  menjadi koleksi saya.  Tukar suka sama suka.  BERBALOI.
                Durratul Nawwarah  jatuh cinta pandang pertama pada Zharif yang menjadi ketuanya.  Dia tidak bertepuk sebelah tangan apabila Zharif juga menyintai Durrah.  Buku  nota Durrah yang jatuh ke tangan Zharif memberi peluang pada Zharif mendekati gadis tersebut.  Cinta sentiasa sahaja ada halangannya.  Keluarga Zharif menentang perkahwinan Zharif dengan Durrah.  Rupanya Zharif bukan  anak teruna tetapi duda tiada anak.  Status itu tidak langsung mematahkan cinta Durrah terhadap lelaki tersebut.  Hubungan mereka turun naik sehinggalah Zharif tekad untuk mengambil Durrah sebagai suri hatinya.  Namun keluarga Zharif menentang perkahwinan tersebut.  Kalau sudah jodoh tidak ke mana.  Akhirnya mereka bersatu walaupun tanpa restu mommy Zharif. 
                Kehadiran Adele  bagaikan racun dalam rumah tangga Zharif.  Durrah cemburu dengan pembantu Zharif itu.  Kedatangan Elmi menggantikan tempat Zharif  membawa cerita baru dalam hidup Durrah apabila lelaki itu tidak segan silu menagih  kasih Durrah walaupun tahu  wanita itu sudah bersuami dan bakal menimang anak pertama.
                Hidup Durrah terus diuji apabila suami tersayang bagaikan biskut chipsmore, sekejap ada, sekejap tiada.   Hatinya benar-benar kecewa, dia bertanya pada dirinya sendiri, apakah perkahwinannya ini satu kesilapan.  Benarkah Zharif mencintainya sepenuh hati atau sekadar menanam tebu di tepi bibir.  Dalam keadaan susah payah, mabuk dan sakit waktu mengandung, Elmi banyak membantu mengguruskan segala keperluan Durrah tika suami tiada di sisi.  Elmi pula bertekad untuk merampas Durrah dari sepupunya itu. 
                Kenapa Mommy Zharif menghalang perkahwinan anak terunanya dengan Zharif?  Siapa Adele dan  apa hubungannya dengan Zharif?  Benarkah Elmi sepupu Zharif?  Kenapa tergamak Elmi ingin merampas isteri sepupunya sendiri?  Kenapa Zharif sering menghilangkan diri? Siapa dirinya yang sebenar?  Apa yang membuatnya tidak pernah betah di rumah?  Setiakah Durrah dengan Zharif?  Di antara Zharif dan Elmi siapa pilihan Durrah?  Masihkan dia menerima kehadiran Zharif?  Masih adakah cinta di hati Durrah untuk Zharif yang dirasakan tidak bertanggungjawab?  Semuanya akan terjawab dalam CINTA DORAYAKI.
                Kalau hendak ketawa berguling-guling dapatkan novel ini.  Gaya bahasa yang santai dan humor.  Memang terbaik.  Mata yang mengantuk pun akan hilang ngantuknya.  Bukan  CINTA BIASA.  Hah!  Itulah yang istimewanya.  Dalam cinta ada dunia penyiasatan.  Dunia risikan.  Bagaimana tu?  Kalau nak tahu Dapatkan jawapannya dalam CINTA DORAYAKI.  Tahniah Izza. Garapan yang menarik dan menghiburkan.  Kepada peminat-peminat novel melayu, dapatkan buku ini.  Tidak rugi melabur.  Satu pelaburan yang berbaloi.

Jumaat, 20 September 2013

INTAN DELAILA - SITI ROZILAH


1

KEHIDUPAN INI taklah semudah menolak gebar ke hujung kaki setiap pagi, desis hati Intan Delaila, sambil menguis selimut tebal ke hujung kakinya. Dia menguap malas dan menggeliat bagaikan anak kucing sebelum bingkas dari katil. Tidurnya malam tadi amat nyenyak sehinggakan mimpi indah pun tak hadir untuk mengganggu lenanya.
Hari yang baru harus didepani dengan semangat yang baru dan lebih berkobar-kobar daripada hari semalam yang ditinggalkan, begitulah kata-kata seorang motivator terkenal yang masih melekat di ruang ingatannya. Awal pagi harus dimulai dengan azam dan semangat yang kuat untuk terus maju ke hadapan. Awal pagi harus dimulai secara positif agar aura positif ini akan menguasai minda sehingga ke malam harinya. Jika hari dimulakan dengan rasa tak bersemangat, malas dan lesu maka sepanjang harilah diri kita tak akan bersemangat, malas serta lesu. Jika ini berlaku, bayangkan bagaimana kita mahu berjaya?

Dia beralih ke tingkap. Tangan melepaknya menyelak langsir biru. Angin sejuk menyapa wajahnya membuatkan dia sedikit tergigil. Dia merenung ke luar, ke arah alam yang masih diselubungi kegelapan. Tetapi hanya seketika saja kerana sebentar nanti matahari akan menyinari bumi dengan cahayanya yang gilang gemilang.
Intan Delaila mahu jadi seorang wanita yang berjaya suatu hari nanti, dan berjaya saja tak cukup kalau tak diiringi dengan hati yang bahagia. Dia mahu jadi seorang yang bahagia hari ini, esok malah selama hayat dikandung badan.
Duit memang penting, kata ibu, tapi hati yang tenang dan bahagia itu adalah nikmat yang tak ternilai. Duit memang penting untuk meneruskan kelangsungan hidup, mempastikan keselesaan, untuk tujuan makan minum, membayar segala bil dan pelbagai titik bengik lagi. Tapi menurut ibu, duit berkepuk di bank dan mendiami banglo tersergam di lereng bukit, tak semestinya menjanjikan hati yang bahagia.

Dia ingat setiap kata-kata ibu. Kerana ibu adalah idolanya. Manusia yang paling hampir dengan dirinya. Malah dia juga amat mengagumi cara ibunya berfikir; kerana ibu amat positif orangnya. Mungkin kerana taraf pendidikan ibu sebagai seorang pendidik yang sewajarnya memiliki segala ciri-ciri positif untuk dipaparkan kepada anak didiknya.
Tanpa ibu, siapalah Intan Delaila. Dia mahu menjadi seperti ibunya dengan memandang hari-hari yang mendatang sebagai suatu hari yang penuh bermakna dan sewajarnya dihargai.
“Delaila, kita hidup di dunia ni tak lama. Oleh itu kita tak harus mempersiakan kehidupan kita dengan perkara-perkara yang negatif. Kita harus berbaik sangka dengan semua orang hatta orang yang paling jahat dengan kita sekalipun.” Itu adalah kata-kata ibu yang melekap utuh di hati Intan Delaila sehingga kini.

“Kita harus belajar untuk memaafkan orang lain walaupun berkepuk kesalahan orang tu pada kita. Ingat tu, Delaila!”
Dia tak tahu mengapa ibu perlu menuturkan kata-kata itu padanya namun dia kagum. Dia terpegun kerana ibu masih mampu menuturkan kata-kata sebegitu tatkala Malaikat Maut menyeringai di hadapannya. Sayang seribu kali sayang... usia ibu tak panjang. Tak sampai beberapa bulan selepas menuturkan kata-kata itu, ibu menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit barah payudara yang telah mengazamatkan seluruh kehidupannya selama ini. Namun dia tahu, sel-sel barah yang berkembang biak di dalam tubuh ibunya tak mampu merenggut semangat dan daya juangnya untuk meneruskan sisa-sisa kehidupan dengan lebih bermakna.

Intan Delaila mahu menangis, mahu meratap di pusara ibu yang masih basah. Dia tertanya-tanya kenapa ibu perlu pergi meninggalkan dirinya tatkala dia masih mengharapkan kasih sayang seorang ibu, tatkala dia masih mendambakan kata-kata motivasi yang merangsang minda.
Sebagai anak remaja yang amat perlukan dorongan dan kasih sayang seorang wanita bergelar ibu, Intan Delaila berasa amat-amat kehilangan.
Tapi dia tak menangis di pusara ibu. Dia hanya meratap di dalam hati. Kerana dia tahu roh ibunya akan terseksa jika dia terus-terusan meratap.
Bunyi azan yang berkumandang membuatkan dia tersedar. Air mata yang menubir di juring matanya, disapu dengan hujung jari. Dia mahu tenggelam di dalam dakapan Yang Maha Esa dan mendoakan kesejahteraan ibunya di sana.

“PA, tengoklah anak dara awak tu, pa!” suara Zarinna hinggap ke copeng telinga Syed Zahari.
Dia menoleh ke arah anak daranya yang melenggang turun dari tingkat atas sambil menjinjing dua buah beg besar, di kiri kanan tangannya. Anak dara manja itu kelihatan amat manis dengan blaus putih dan seluar ketat yang menirus ke hujung, menyaluti tubuhnya.

“Kenapa pulak, ma?”
Zarinna geleng kepala.
“Hari ni kan hari pendaftaran untuk pelajar baru. Mana boleh pakai baju macam tu. Sekurang-kurangnya pakailah baju Kebangsaan kita. Mel, baju kurung yang kita tempah dulu tu, kan lebih sesuai dipakai?” terjah Zarinna tak puas hati melihatkan penampilan anaknya.

Anak manja berkulit cerah dengan rambut keperangan itu sekadar mencebik bibirnya yang merah ranum. Apa? Camelia harus berbaju Kebangsaan... berbaju kurung? Argh, tak mungkin!
“Apa salahnya kalau Mel pakai macam ni, ma?” soalnya sambil meletakkan kedua-dua buah beg besar ke atas permaidani berketebalan mewah, dan meneliti tubuhnya.
“Cantikkan Mel macam ni? Nilah gaya gadis kota yang sofisticated, ma. Trendy tapi masih kekal ayu.” Sahutnya sambil terkekeh-kekeh melihatkan wajah Zarinna yang cemberut. Sebenarnya dia mengambil ayat, ‘trendy tapi masih kekal ayu’ tersebut daripada majalah fesyen terbitan Karangkraf yang dibacanya beberapa minggu lalu.

Camelia, berbaju kurung atau kebarung itu terlalu kolot baginya dan hanya dipakai pada hari Jumaat, itupun kalau terpaksa bekerja di jabatan kerajaan macam mama. Baju kurung atau kebarung adalah pakaian anak dara kampung. Atau hanya wajar digayakan sewaktu hendak menghadiri majlis kenduri kahwin!

Dia anak gadis kota, yang dilahir dan dibesarkan di perut kota. Seumur hidupnya dia tak pernah menjejakkan kaki ke kampung. Suasana kampung hanya dilihatnya di kaca televisyen ataupun jika terpaksa menyusuri jalan yang merentasi kawasan perkampungan. Suasana kampung hanya diketahuinya melalui novel-novel Melayu yang dibacanya, itupun sesekali sahaja.
Dia tidak minat membaca novel-novel Melayu yang dikarang oleh penulis-penulis tempatan yang... entahlah... susah hendak diterangkan. Lebih memualkan lagi apabila kedai-kedai buku sekarang dilambakkan dengan novel-novel cinta yang membosankan. Kisahnya stereotaip; gadis kampung di ceruk desa yang hidup terhimpit oleh kemiskinan dan hampir-hampir menjadi mangsa kerakusan bapak saudara, bapak tiri atau mereka yang seangkatan dengannya, lalu dengan begitu cekal hati melarikan diri ke kota dan setelah melalui pelbagai halangan, menemui cinta sejatinya. Atau kisah budak sekolah yang cintan-cintun dan asyik berebut kekasih aje kerjanya. Ataupun cerita tentang poligami yang heeei... kalau mama baca mesti tension berhari-hari!

Dia lebih cenderung membaca nukilan penulis-penulis dari luar negara sejak dari kecil lagi. Dahulu, mama selalu membelikannya novel-novel Enid Blyton. Sekarang setelah usianya semakin meningkat, dia membaca novel-novel nukilan Stephen King, Sidney Sheldon, Virginia Andrews dan beberapa orang penulis lagi. Tetapi penulis yang dia paling minat adalah Stephen King, si penulis novel seram. Sebut aje novel apa yang tidak dimilikinya; The Stand, Salem’s Lot, Pet Sematary, Dolores Clairbourn, Carrie... dan yang seangkatan dengannya, semuanya telah dimiliki. Semuanya tersimpan kemas di dalam storage box di bilik bacaan yang dikongsinya dengan abangnya, Zukry. Di banglo tersebut, ada dua buah bilik bacaan sebenarnya; satu khusus untuk Syed Zahari dan Zarinna dan sebuah lagi untuk kegunaan kedua beradik tersebut.

Syed Zahari yang mendengar jawapan selamba yang terkeluar dari bibir anak gadisnya, tergelak kuat. Isterinya dan Camelia memang tak boleh duduk dekat, asyik bercekau saja kerjanya macam anjing dengan kucing. Namun dia tahu bahawa kedua-dua insan itu saling sayang menyayangi, cuma kadangkala tidak sependapat.
Camelia anak manja. Yang dibesarkan dengan sepenuh kasih sayang dan kesenangan hidup. Begitu jugalah dengan anak lelaki tunggal mereka, Zukry. Cuma mungkin Zukry sebagai seorang lelaki, kurang terserlah kemanjaan dan kedegilannya berbanding dengan anak gadis seperti Camelia.
Zarinna menoleh ke arah suaminya, kurang senang mendengar dekahan tersebut.

“Kenapa awak ketawa, pa?” soal isterinya.
“Ni perkara serius tau. Seorang anak gadis Melayu tapi tak suka berbaju Kebangsaan, tak ke pelik!” tempelak Zarinna.
Syed Zahari memekup mulutnya. Dia menahan gelak dan cuba tampil serius di hadapan isterinya.
“Dah dari kecil awak biasakan dia dengan seluar dan skirt, ma. Kalau dari kecil dulu awak biasakan dia berbaju kurung atau yang seangkatan dengannya, taklah masalah ni timbul. Kata pepatah, kalau melentur buluh biarlah dari renungnya. Kalau dah jadi buluh macam ni, nak buat macam mana? Tak dapek den nak nolong do...” Tingkah Syed Zahari. Dia menoleh ke arah anak gadisnya.
“Papa! Sampai hati papa samakan Mel macam buluh.” Camelia terpekik.
Syed Zahari berdekah lagi. Zarinna yang tadinya serius semacam, juga tergelak kecil.
“Bukan buluh lagi... tapi buluh betung!” usik Syed Zahari membuatkan Camelia terkekau.

Anak gadis itu meluru ke arah papanya. Tetapi sebelum sempat tangannya hinggap ke dada, Syed Zahari menarik Camelia ke dalam pelukannya. Begitulah mereka anak beranak, penuh dengan gurau senda dan kemesraan tanpa sempadan



INTAN DELAILA - SITI ROZILAH


Prolog

CINTA! Suatu perasaan yang teramat indah. Hanya mereka yang bercinta sahaja yang tahu nikmat dan keindahannya. Usia cinta teramat kuno; telah dititipkan di hati manusia bernama Adam terhadap pasangannya, Hawa. Keinginan Adam untuk merasai cinta berputik setelah melihat burung-burung yang berpasangan di syurga Ilahi. Lalu hati seorang Adam yang tadinya berlagu sunyi terubat dengan lahirnya Hawa daripada rusuk kirinya.

Malangnya, dek terlalu cintakan Hawa, Adam tega melanggar larangan penciptanya supaya tidak menghampiri apatah lagi memakan buah Khuldi. Pujuk rayu Hawa membuatkan hati seorang Adam lemah dan cair sehingga kedua-duanya dicampak keluar dari syurga yang maha indah lalu terdampar ke dunia.

Itulah dosa pertama manusia yang puncanya adalah seorang wanita – Hawa!
Cinta! Seperti nukilan Alphonse Karr, di dalam novelnya Sous Les Tilleuls, ‘tiada gunanya kehidupan seseorang tanpa hati dan tiada gunanya hati yang berdetak tanpa cinta,’ semua ingin hanyut di lautannya. Hatta penjenayah yang paling jahat sekalipun mempunyai rasa cinta dan ingin dicintai.

Ditakdirkan aku mengenali seseorang, yang dalam dadanya berdetak dengan cinta yang maha hebat terhadap pasangannya. Dia sanggup melakukan apa sahaja atas nama cinta hatta menyimpan dendam bertahun tatkala hatinya dilukai.

Dan, ditakdirkan diriku turut bernafas di antara mereka berdua...

Khamis, 19 September 2013

SAYONARA CINTA VS AKU TURUT BAHAGIA




SAYONARA CINTA vs AKU TURUT BAHAGIA?
Sayonara Cinta adalah novel karya Rosa Nur Imani, sementara Aku Turut Bahagia pula adalah karya Asmah Hashim. Kedua-dua novel ini diterbitkan oleh Grup Buku Karangkraf(Buku Prima dan Alaf21).
Sinopsis: SAYONARA CINTA
KADANGKALA musibah hadir dalam bentuk sebuah takdir yang tak tertolak tibanya. Begitulah dengan takdir yang membelit diri Ezra. Dia memiliki pakej yang cukup sempurna sebagai seorang wanita, dengan dibekalkan rupa paras yang bisa saja mencairkan hati lelaki. Pun begitu, di sebalik kecantikan paras wajahnya tiada siapa yang menduga bahawa dia sebenarnya adalah seorang bekas pesakit mental yang terpaksa bergantung kepada bekalan ubat-ubatan untuk kekal waras.

Kondisi penyakitnya yang agak jelik lagi pelik itu membuatkan dia lebih suka mengasingkan diri daripada orang ramai. Pun begitu, hatinya yang sunyi akhirnya disapa juga oleh kehadiran seorang jejaka kacak, Adam Haikal.

Ezra dan Adam Haikal akhirnya berkahwin. Konflik timbul apabila Ezra enggan mengandung kerana khuatir penyakitnya bakal diwarisi oleh anaknya kelak. Oleh sebab itu, dia memaksa suaminya bernikah dengan Julia semata-mata untuk memberikan zuriat yang sihat untuk suaminya.

Sebagai isteri pertama, Ezra mula rasa terancam setelah madunya hamil. Dia rasa kasih sayang suaminya sudah mula terbahagi dua. Dia mula mendesak agar suaminya menceraikan madunya.

Sementara itu; novel AKU TURUT BAHAGIA pula memaparkan kisah tentang Ustaz Amir Khuzaifa yang meminta kebenaran daripada isteri pertamanya untuk bernikah lagi dengan alasan isteri mudanya kelak dapat membantu isteri pertama menguruskan maahad.

“IJA isteri yang baik dan jujur. Abang tak pernah pertikaikan layanan Ija. Cuma, abang perlukan seseorang untuk bantu Ija menguruskan maahad. Oleh itu, Ija mesti izinkan abang berkahwin lagi.” – Amir Khuzaifa.

Ummi Khadeja tergamam. Hanya matanya yang berbicara. Angin tiada, ribut pun tidak, tiba-tiba pokok bergoyang. Selama 16 tahun hidup bersama, hari ini suaminya berterus terang ingin berkahwin lagi. haruskah dia tersenyum?

Demi cinta dan agama, Ummi Khadeja berkorban. Jika suaminya bahagia dengan perkahwinan ini, dia akan turut bahagia asalkan pengorbanan ini tidak disia-siakan.

Sayangnya, tidak semua isteri boleh berkongsi kasih. Saat Ummi Khadeja pasrah dengan takdir hidupnya, Syifa’ Umaira meminta sesuatu yang mustahil. Dia memaksa Amir Hudzaifa menceraikan isteri pertama.

Bagaimanakah kisah selanjutnya? Apakah seorang suami sanggup menceraikan isteri pertamanya yang penyabar dan telah banyak berkorban untuknya semata-mata untuk memuaskan hati isteri mudanya?

Walaupun kedua-dua novel ini kelihatan memaparkan isu yang sama iaitu ‘poligami’ tetapi pendekatan kedua-dua penulis tetap berbeza. Dalam Sayonara Cinta, penulisnya melakarkan tentang isteri pertama yang berpenyakit memaksa suaminya bernikah satu lagi semata-mata untuk mendapatkan anak. Dalam Aku Turut Bahagia pula si suami yang beriya-iya ingin bernikah lain dengan alasan isteri keduanya kelak dapat membantu isteri pertama menguruskan maahad.
Walaupun pada mulanya(sebelum menambah cawangan); kesemua wataknya memperlihatkan sikap yang positif terhadap keperluan berpoligami tetapi rumah tangga mereka mula berantakan sebaik-baik sahaja si suami berkahwin satu lagi.
Di dalam Sayonara Cinta, Ezra(isteri pertama) seringkali mencari-cari alasan untuk tidak membenarkan suaminya balik ke rumah isteri muda. Sampai ke suatu tahap, Ezra sudah tidak tertahan lagi dan memaksa suaminya menceraikan madunya yang ketika itu sudah pun melahirkan anak. Dia mula mengabaikan pengambilan ubat-ubatannya, hingga penyakit mentalnya bertambah buruk.
Begitu juga dengan sikap cemburu keterlaluan Syifa’ Umaira(Aku Turut Bahagia) yang langsung tidak memikirkan perasaan isteri pertama Amir Khudzaifa serta anak-anaknya. Tiba-tiba sahaja dia menjadi tamak hingga sanggup menyuruh suaminya menceraikan isteri pertama.
Bagaimanakah kesudahan kisah kedua-dua rumah tangga yang bergolak ini?
Asmah Hashim lewat novelnya Aku Turut Bahagia, telah memaparkan kisah tentang kehidupan di maahad. Walaupun mungkin watak-watak yang terlibat itu, ustaz dan ustazah, yang tinggi ilmu agamanya tetapi mereka tetap manusia yang mempunyai hati dan perasaan. Penulis juga telah berjaya mencipta konflik di bab-bab terawal novelnya. Ditambah lagi dengan pemilihan gaya bahasa yang menarik serta teratur. Elemen-elemen inilah telah yang menambah rencah dalam novel pertama beliau itu.
Novel ini wajar dibaca oleh setiap kaum Hawa terutamanya yang bakal atau sudah bergelar isteri. Ceritanya digerakkan dengan laju, jadi anda tak akan mengantuk ketika membacanya.
Saya suka membaca novel Asmah Hashim ini. Oleh itu, saya bagi 4 bintang untuk novel ini. Untuk novel Sayonara Cinta pula, biarlah pembaca yang menilainya.
• Perhatian: Letakkan mental anda dalam keadaan bersedia sebelum membaca kedua-dua novel ini.

Cara nak mendapatkan kedua-dua novel ni: http://mall.karangkraf.com/
: Juga terdapat dalam bentuk e-book.

Jumaat, 6 September 2013

NOVEL TERBITAN ALAF 21 -OKTOBER


KARYA ROSA IMANI / SITI ROZILAH




KARYA KAK SRI DIAH



KARYA KAK SRI DIAH

GAMBAR KENANGAN





GAMBAR KENANGAN
















BERSAMA KAWAN-KAWAN PENULIS DAN FB













Gambar Kenangan













BERSAMA-SAMA KENALAN DAN PARA PENULIS






























Bersama-sama KETUA EDITOR BUKU PRIMA EN. MOHD ALI dan rakan-rakan penulis dari Ilham.




BALADA AIR MATA - ANGELA ENGKUAN











TAJUK                   :               BALADA AIR MATA
PENULIS               :               ANGELA ENGKUAN
PENERBIT            :               ALAF 21
TERBITAN            :               2012
MUKASURAT       :               439
                Kisah seorang  gadis yang  bernama Kesuma kehilangan ibu sejak dilahirkan.  Enam tahun membesar bersama datuk dan neneknya dari sebelah arwah ibu.  Waktu dia berumur enam tahun ayahnya datang mengambilnya semula.  Sejak itu dia tidak lagi bertemu datuk dan neneknya.  Dia membesar bersama ibu tiri yang kurang senang dengan kehadirannya.  Kehadirannya tidak diterima dengan sepenuh hati.  Dia terpinggir.  Setelah meningkat dewasa Kesuma pulang semula ke kampung halaman arwah ibunya.  Dia mencari kembali datuk dan neneknya.  Mengamit kembali kenangan  ketika dia masih kecil.  Mengimbau kembali kawan-kawan yang telah lama ditinggalkan.
                Perasaan benci keluarga tirinya tidak hanya ketika dia tinggal bersama mereka.  Malah adik tirinya sanggup menabur fitnah mengatakan dia melahirkan anak luar nikah sehingga ayahnya sendiri membenci dirinya.  Kehadirannya di kampung datuk dan neneknya juga tidak disenangi oleh ayahnya sendiri.  Kamal tidak mahu Kesuma terlalu rapat dengan keluarga arwah isterinya.  Ada dendam yang tersemat di dada.
                Kesuma terlalu kasihkan datuk dan neneknya sehingga dia membantah kata-kata ayahnya.  Perkahwinan yang diatur oleh ayahnya juga ditolak mentah-mentah.    Hati telah diserahkan pada sahabat sewaktunya kecil dahulu.  Bermulalah episode sedih dan duka Kesuma dalam meraih kasih seorang ayah dan membalas kasih sayang datuk dan neneknya yang hanya tinggal berdua.  Merasa bertanggungjawab menjaga mereka.
                Kenapa Kamal begitu membenci dan mendendami bekas keluarga mentuanya?  Mampukah Kesuma membersihkan namanya?  Mahukah Kamal menerima Kesuma kembali setelah apa yang terjadi?  Insafkah keluarga tiri Kesuma  setelah apa yang mereka lakukan pada Kesuma?  Adakah kebahagian untuk Kesuma?  Siapa Adam, anak kecil yang menjadi penyebab Kamal membuang Kesuma?  Semua persoalan itu akan terjawab di dalam BALADA CINTA.
                Saya suka jalan ceritanya.  Ada nilai-nilai murni  yang ingin disampaikan.  Tentang tanggungjawab seorang  cucu terhadap datuk dan nenek.  Tanggungjawab  seorang menantu terhadap bekas mentuanya.  Tanggungjawab seorang ibu tiri terhadap anak tirinya.   Seperti biasa bahasa di dalam  novel-novel dari Alaf 21 memang tida pernah menghampakan.  Jalan cerita yang bersahaja dan mudah difahami.    Plot yang diselitkan dengan imbas semula, namun tidak menganggu perjalanan cerita. Tahniah pada penulis.  Semoga akan terus menghasilkan karya yang bermutu