AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 22 July 2017

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 56



Jam 10.00 pagi, Rose sudah pun disiapkan oleh mak andam yang ditempah.  Para tetamu sudah pun memenuhi ruang yang disediakan.  Hati Rose semakin berdebar-debar.  Semakin takut jadinya.  Majlis pernikahannya akan bermula jam 11.00 pagi. Sebelum itu acara khatam Quran akan diadakan.  Rose akan membaca ayat-ayat lazim, diikuti kumpulan marhaban memeriahkan majlis perkahwinannya. Di laman rumah riuh rendah dengan suara orang tua dan kanak-kanak.
            Zaiton membantu Rose bersiap. Sesekali menjengah melalui tingkap bilik melihat suasana di luar rumah.  Lagu-lagu qasidah dan lagu-lagu pengantin lama dan baharu berkumandang, menjadi halwa telinga mereka yang bekerja, memasak dan menghidang juadah yang ada.  Sarapan pagi tadi, nasi lemak berlaukkan gulai daging.  Matanya asyik memerhati jam di dinding.  Semakin menganjak pukul 11.00 pagi, semakin berdebar-debar pula hatinya.  Bagaimana agaknya rupa Joe yang sudah berbaju Melayu dan bersampin, siap dengan tengkolok di kepala.   Adat orang dahulukala, jangan sesekali dilupakan. 
            Semua ada, rakan-rakan sekolah pun hadir memeriahkan majlisnya.  Mereka turut mengucapkan tahniah bersama hadiah sebagai kenang-kenangan.  Senyuman manis terukir sentiasa.  Hatinya berbunga riang.  Yang tidak ada hanya Ain seorang sahaja. Mungkin masih belum terbuka pintu hati Ain untuk berbaik dengannya. Masa terus berlalu.  Jam sudah hampir ke waktunya  Tok kadi sudah mencemar duli, menanti di ruang tamu kehadiran pengantin lelaki. 
            “Kenapa tak sampai lagi? Mereka sesat ke?  Atau jalan raya sesak?” tanya Seman pada Rose yang berada di dalam bilik.
            Bukan ayahnya sahaja yang gelisah, dia apatah lagi. Nombor  telefon Joe berkali-kali didial, semuanya di luar kawasan? Kenapa pula? Dia menelefon Kak Maznah, juga tidak berangkat.  Telefon pula Kak Milah, juga begitu.  Hatinya semakin hebat berdegup.  Apa yang sudah berlaku?  Mereka terlupakah harinya? Tidak mungkin?
            “Mana pengantin lelaki ni Rose?” tanya Hanum pula.
            Tok kadi sudah gelisah.  Dia ada urusan di tempat lain.  Orang di bawah rumah sudah mula berkata sesama sendiri.  Tetamu semakin ramai menjelang tengahari.  Masing-masing bertanyakan pengantin. 
            “Rose.”   Zaiton mendekati.
            “Kejap lagi sampailah tu,” kata Rose memujuk hati sendiri. Badannya sudah berpeluh kerana kerisauan.
            Zaiton sudah gelisah.  Dia mendekati Haikal. Lelaki itu juga tidak keruan.
            “Macam mana ni Haikal?  Joe tak nampak bayang, keluarganya juga tidak dapat dihubungi. Tok Kadi dah nak balik!” luah Zaiton mula kebimbangan.
            “Kenapa jadi macam ni? Apa pula masalah mereka?”  soal Haikal.  Dia juga telah cuba menghubungi Joe tetapi tidak berjawab.  Ke mana lelaki itu pergi? 
            “Aku pergi tengok Rose, risau aku dibuatnya.”  Zaiton berlalu meninggalkan Haikal yang cuba menelefon Joe berkali-kali.
            Orang kampung sudah mula bercakap sesama sendiri.  Kegelisahan dan kebimbangan terpancar di wajah tuan rumah.  Saudara mara sudah saling berbisik.
            Di ruang tamu, pujuk memujuk berlaku. Tok Kadi sudah nak angkat kaki, ada orang yang akan bernikah jam 12.30 tengahari nanti.  Masa sudah lama berlalu.  Pengantin lelaki tidak kelihatan akan tibanya.    Seman tidak tahu harus berbuat apa.  Sesekali bertanyakan Rose akan tunangnya.  Hatta majikannya juga tidak hadir bersama.  Kenapa? Dan ke mana perginya mereka?
            Televisyen dipasang, kut-kutlah rombongan terlibat dengan kemalangan jalanraya tetapi tiada  sebarang berita diterima.  Semakin tidak keruan jadinya.  Disuruh sesiapa sahaja melihat di jalan, manalah tahu berlaku apa-apa di jalanan.  Radio dipasang, mana tahu ada berita tentang rombongan pengantin yang kemalangan, bukan mendoakan tetapi kalau sudah tidak hadir, ke mana lagi perginya? Sesat? Tidak mungkin?
            Rose hanya termenung jauh di birai katil  telefonnya dibiarkan di atas katil.  Tok Kadi akhirnya pulang tanpa sebarang majlis akad nikah.  Berjanji akan datang semula, kalau pengantin lelaki ada.  
            “Rose!” Hanum mendekati anak gadisnya yang duduk termenung. Pucat wajahnya. Lesu dan tidak bermaya. 
            “Tak apa mak, mungkin kejap lagi sampailah tu.” Cuba menghilangkan tekanan di hati.
            “Rose, tak apa-apakan?” Hanum bertanya tenang.  Dalam hati hanya ALLAH yang tahu.  Suara jiran tetangga yang bertanya sudah cukup merimaskan.  Tetamu terus dilayan seperti majlis sedang berlangsung.  Ada yang bertanyakan pengantin lelaki dijawab dengan tenang.  Alasan, tersekat di jalan raya, hanya itu sahaja yang mampu diluahkan.  Berat mereka yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. 
            Jam ke angka 2.00 petang. Bayang rombongan tidak juga kelihatan.  Masing-masing sudah mengeluh jauh ke dalam hati.  Wajah tidak lagi seriang semalam. Berkerut masing-masing.   Tetamu hadir tidak berhenti, maklumlah anak sulong pihak tuan rumah dan pertama kali pula itu buat majlis perkahwinan.  Ditambah dengan fizikal Rose, tentulah tetamu yang datang ingin melihat siapakah lelaki yang bertuah. 
            Rose tidak tahu entah berapa kali dia menelefon Joe dan Kak Maznah.  Kenapa mereka tidak menjawab panggilannya?  Kenapa mereka seperti menghilangkan diri?  Bertambah seram sejuk jadinya.  Terasa berdenyut kepalanya.  Hiasan di kepala terasa saratnya.  Mahu sahaja dia mencabut selendang yang melilit di kepalanya. Mahu sahaja dia mencuci muka, hidupkan enjin kereta dan pergi ke Kuala Lumpur mencari tunangnya itu.
            Zaiton duduk di sisi memicit belakang Rose, tidak berani bertanya apa-apa, wajah sahabatnya yang keruh mengambarkan hatinya ketika itu. Kalau tidak mahu diserang bertubi-tubi, baik diamkan diri dan cuba menenangkan cik punya badan sebaik-baiknya. 
            “Ton!”  panggil Rose perlahan. Air mata sudah menitis di tubir mata. 
            “Ya Rose!” jawab Zaiton, cuba bertenang, sedangkan hatinya ketika itu sudah kacau bilau.
            “Ikut aku, kita balik KL,”  cadang Rose.  Dia perlu cari Joe, cari Kak Maznah.  Mana mereka?  Kenapa tiada sebarang jawapan daripada semua persoalan yang sedang bermain di minda kedua orang tua, para tetamu dan jiran sekampung. 
            Masa terus berlalu.    Sudah hampir mencecah waktu solat asar.  Bayang rombongan tidak juga kelihatan.  Tetamu sudah semakin berkurangan.  Hanum dan Seman sudah menyandar di ruang tamu memandang pelamin yang disiap indah.  Sebak dada mereka berdua.  Malu dengan  jiran tetangga. Malu dengan adik beradik. Malu dengan tetamu yang dijemput.  Kata-kata sindiran mula kedengaran, mengusik halwa telingannya. Terasa pedih dan seperti di hiris sahaja.
            “Ton!” sekali lagi Rose memanggil.
            “Jangan buat kerja gila, Rose,”  bantah Zaiton.  Geram bercambah di hati. Marah mula meniti. Kalau ikutkan hati, dia jugakan buat seperti yang dicadangkan Rose tadi. 
            Di laman rumah Haikal termenung jauh.  Kesal bertandang.  Kecewa menghambat diri.  Adakah Joe menipu Rose?  Mainan siapakah ini?  Apa yang telah mereka lakukan?  Persoalan yang berkisar di kepalanya, tanpa jawapan. Jawapannya ada  pada Joe.  Tetapi mana dia?
            “Haikal,” panggil Hajah Mona. Dia juga gelisah, susah hati memikirkan masalah yang sedang terjadi.
            “Tak dapat hubungi kawan Haikal tu?” tanya Hajah Mona.  Kecewa menyambar di hati.
            “Tak mak, puas Haikal cuba,” luah Haikal dengan mata berkaca. Turut terasa pedihnya.  Sahabatnya itu pasti kecewa, makan hati dan merana. 
            “Kasihan Rose dan keluarganya, Haikal.”  Hajah Mona mengeluh kasar.
            “Mak pergilah tengokkan Mak Hanum, tentu sedang bersedih tu.  Di laman ni biar Haikal uruskan dengan budak-budak kampung. Majlis berlangsung tanpa pengantin, tanpa akad nikah, berakhir dengan hanya kenduri doa selamat sahajat.  Berakhir dengan terputusnya harapan seorang gadis untuk bergelar isteri kepada lelaki yang disangka menyayanginya.
            “Yalah… Haikal tolong kemas sampai selesai ya. Ajak kawan-kawan Haikal yang lain. Kasihan Mak Hanum dan Pak Seman.”  Hajah Mona melangkah menuju ke ruang tamu.  Hanum dan Seman duduk tenang memandang pelamin.  ALLAH… ucapnya dalam hati.  Dia mendekati teman sekampungnya itu. 
            “Apa salah anak Hanum, Mona? Apa dosanya?”  tanya Hanum, matanya berkaca, sudah sarat dengan air mata.
            “Rose macam mana?” tanya Hajah Mona.  Dia sendiri tidak tahu harus berbuat apa.  Sekadar boleh menenangkan sahabatnya itu.  Bagaimanalah keadaan  Rose, tentu hatinya juga kecewa.
            “Ada dalam bilik, keluar tak nak, makan pun tidak,” cerita Hanum tentang anak gadisnya itu. Pintu bilik dikunci rapat dari dalam.
            Masing-masing melayan duka sehingga majlis berakhir.  Kata-kata nista daripada beberapa orang yang memang jahat mulutnya dipandang sepi sahaja. Yang simpati  menenangkan tuan rumah agar bersabar dan menerima semua yang berlaku adalah ujian daripadaNYA.  Akur dalam duka.  Angguk dalam sengsara.  Duit habis, majlis gagal terlaksana.


Friday, 21 July 2017

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 55



Pagi sabtu, Rose sudah pun berada di kampung bersama Zaiton. Bilik pengantinnya dihias indah.  Siap dengan kelambunya.  Haikal juga turut membantu, membanting tulang.  Jiran tetangga, jiran sekampung ramai yang datang membantu. Riuh rendah di kawasan rumahnya.  Khemah sudah dipasang. Pelamin sudah didirikan.  Bukan nak bersanding sangat, sekadar menyediakan tempat untuk mengabadikan hari-hari yang bahagia buat pasangan pengantin.
            Lembu sudah dilapah. Ayam sudah dicuci, sedang digoreng untuk dijadikan lauk esok tengahari.  Dia hanya membantu di atas rumah.  Mengemas dan menyusun apa yang patut. Bersama Zaiton yang riuh rendah mulutnya.  Senyuman bahagia terukir di bibir emaknya.  Senyuman gembira terukir di bibir ayahnya.  Hatinya berbunga riang.  Ucapan tahniah diterima tidak putus-putus, baik daripada kawan dan lawan.  Mak Limah tetap datang juga, semua orang sudah tahu perangainya.  Mulutnya tetap becok berkata-kata. Meluahkan apa sahaja yang terbuku di hatinya. Biarah dia berkata-kata, kerana dia ada mulut. 
            Hajah Mona, emak Haikal tidak menang tangan, macam dia pula nak menerima menantu. Minggu hadapan di rumahnya pula.  Kesibukan berganda.    Kuih-muih beraneka jenis menjadi santapan bagi mereka yang datang bergotong royong.  Semuanya ehsan daripada jiran tetangga. Saudara jauh dan dekat sudah pun bertamu.  Rumah jadi riuh rendah dengan suara anak-anak mereka. Bermain, berlari, itulah perangai budak-budak adanya.
            Penat seharian membantu, dia benar-benar terasa letih. Ingin merehatkan diri terasa malu pula.  Zaiton sudah pun berdengkur di dalam bilik usai solat zohor tadi.  Esok hari paling penting dalam hidupnya.  Paling bahagia dalam hidupnya. Paling bererti dalam hidupnya.  Rose memerhatikan orang kampung yang sibuk bekerja di laman rumah.  Saling bergurau senda, saling berkenalan bagi yang tidak berapa mengenali. Saling  bercerita tentang anak-anak dan keluarga sendiri.  Segalanya bagaikan satu keluarga, satu suara.  Seronok rasanya.  Terhibur jiwanya.  Tenang hatinya.  Segalanya berjalan lancar.
            Malam itu diadakan majlis kesyukuran dan tahlil untuk mereka yang telah tiada.  Masakan kampung menjadi pilihan.  Masak lemak nangka dengan perut lembu, sambal belacan. Ikan cencaru sumbat dan sayur kangkung goreng belacan.  Pemanis mulut, buah tembikai, kuih-muih sedekah jiran tetangga.  Orang masjid menjadi tetamu istimewa.  Alunan Yassin dan doa kedengaran memenuhi setiap ruang rumah itu.  Teras tenang dan mendamaikan.
            Usai majlis tahlil selesai.  Zaiton mula sibuk memakaikan inai di jarinya.  Beberapa orang sepupunya turut sama membantu.  Inai tumbuk pula itu.  Emak tidak suka dia pakai inai yang telah siap dijual, tidak cantik katanya.  Rose akur.  Tidak mahu emak berkecil hati dalam keadaan sibuk begini.  Ikutkan sahaja kehendak mereka. Janganlah sampai mereka menyuruhnya terjun sungai, sudahlah.
            Hampir pukul 11.00 malam baharulah jiran dekat dan jauh pulang ke rumah masing-masing.  Yang tinggal hanyalah adik beradik sebelah ayah dan emaknya memenuhi ruang tamu dan bilik yang ada.  Dia dan Zaiton akan tidur di biliknya yang sudah dihias cantik, bukan tidur atas tilam tetapi di atas lantai berlapikkan tikar.  Jadilah, untuk melelapkan mata sahaja.
            “Ya ALLAH, aku pula yang berdebar-debar! Yang nak kahwin tu kau?”  kata Zaiton sambil menepek inai yang sudah siap ditumbuk halus.
            “Kalau kau berdebar, aku pula rasa jantung aku ni nak keluar aje.  Seram sejuk tubuhku macam nak demam,” terang Rose pula. Dia memerhatikan sahaja jari jemari Zaiton menepek inai di jarinya satu persatu.
            “Alhamdulillah, akhirnya Rose.” Mata Zaiton berkaca.  Janganlah dia menangis esok.  Melihat sahabatnya bahagia, dia turut berasa bahagia.
            “Ton… kau jangan tinggalkan aku tau. Walaupun aku dah kahwin, tapi kau tetap kawan aku,” ucap Rose.
            “Aku takut, kau yang tinggalkan aku. Maklumlah dapat suami kacak, bergaji besar. Berpangkat besar.  Aku juga yang ketinggalan,”  luah Zaiton.  Dia menyeka air mata dengan lengannya.  Terasa hiba menghimpit diri, sayu hatinya.
            “Yalahkan… buat apa cari kau, aku dah ada teman sebilik,” gurau Rose. Senyuman terukir.  Wajahnya ceria. Jiwanya  tenang.
            “Hah! Dah mulalah tu!”  Zaiton mencubit lengan Rose.
            “Kau ni, aku gurau sajalah!”  Rose mencebik.
            “Gembiranya aku rasa, sampai makan pun tak kenyang.  Laparlah!”  kata Zaiton, dia menyengih.
            “Tadi bukan kau makan dengan aku?  Takkan dah lapar balik?”  tegur Rose.
            “Masak lemak nangka dengan perut lembut tu, sedaplah. Nanti kau teman aku makan nasi lagi ya.  Kau nak makan, tak boleh… kau tengok saja aku makan!” Zaiton menjongketkan keningnya.
            “Dah tengah malam ni sahabat, esoklah makan,” larang Rose. 
            “Kau tidur sebelah akukan? Kalau kau dengar perut aku menyanyi beraneka irama, kau jangan marah ya, aku tak bertanggungjawab,”  tekan Zaiton.
            “Teruk punya kawan, kalau kau nak makan… kau suaplah aku sekali.  Bila lagi aku nak bermanja dengan kau.” Giliran Rose mengusik Zaiton.
            “Hah?  Suapkan?  Dengan sudu boleh, tangan, tidak!’ sambil mengangkat tangannya.
            “Laa… kalau nak suap dengan sudu, baik aku suruh adik aku saja.  Sesekali nak bermanja dengan kau, bolehlah, bolehlah,” rayu Rose.
            “Dah siap pakai inainya.  Jom kita pergi makan!” kata Zaiton, dia bingkas bangun sambil membetulkan pinggannya yang terasa lenguh.
            “Tolonglah angkat aku!” jerit Rose. 
            “Apalah punya teruk!”  Zaiton mengangkat Rose berdiri.  Mereka berjalan ke dapur.  Masih ada Hanum dan Seman sedang berbual dengan beberapa orang saudara mara.
            “Hah, nak apa Ton, Rose?” tanya Hanum, ingatkan kedua gadis itu sudah melelapkan mata.
            “Nak cari makan, nak cari makan,” kata Zaiton. Dia menyengih.
            “Laa… lapar lagi ke?” tanya Hanum.
            “Kenyang sangat ni mak, itu sebab cari makan,” tambah Zaiton.
            “Tentulah lapar mak,” sambung Zaiton.  Dia menyelongkar periuk nasi. 
            “Orang lain yang mengelabah, orang lain yang makan banyak mak,”  ejek Rose.  Zaiton memang panggil emaknya dengan panggilan emak juga.  Biar hubungan itu lebih mesra.  Begitu juga dengan ayahnya. 
            “Makanlah.” Hanum menggelengkan kepala.
            Nasi sudah diisi ke dalam pinggan.  Semangkuk masak lemak cili api nangka muda, ikan goreng, sambal belacan sahaja menjadi pilihan Zaiton.  Dia mengajak Rose makan di pangking luar rumah sambil menikmati angin malam.
            “Jangan ketawa kuat-kuat sangat. Kang keluar langsuir sebab terkejut!’ usik Hanum, dia ketawa perlahan.  Mereka yang berada di dapur turut ketawa mendengar usikan Hanum,
            “Apalah mak ni! Doakanlah kami didatangi Putera Raja yang turun dari kayangan ke? Ini langsuir?” Zaiton menggeleng laju.  Maatanya melilau memandang sekeliling.   Gelap di sana sini.
            “Meh, Rose.  Aku suap kau makan.” Kuah dituang ke dalam nasi. Ikan goreng dicubit diletak di tepi nasi. Doa dibaca. Dia terus menyuapkan nasi itu ke mulut Rose yang sudah sedia terbuka.
            “Lepas ini tak ada peluanglah aku nak memanjakan dan bermanja dengan kau, kan Rose,” kata Zaiton, tangannya pantas menyuap nasi ke mulutnya dan mulut Rose.
            “Ala… macamlah kau tu manja sangat dengan aku.”
            “Sunyilah hidup aku lepas ni,” luah Zaiton.  Dia benar-benar sedih. Kehilangan seorang teman dan sahabat yang baik tentulah membuatkan hatinya sedih.
            “Kau ni Ton, macamlah aku nak pergi mana-mana.  Kau boleh datang jumpa aku di  restoran Kak Maznah. Kita masih boleh berjumpalah! Jangan mengada-ngada sangat!” tegur Rose.
            “Takkan sama, kita tak boleh lagi keluar bersama, makan bersama.  Aku tak dapatkan rasa masakan air tangan kau yang dah semakin sedap  tu,”  ujar Zaiton.  Muka sedih tetapi mulutnya masih lagi mengunyah nasi dan gulai nangka yang sudah tinggal sedikir sahaja lagi.
            “Kau ni, janganlah cakap macam tu, sedih aku tau!”
            “Malam ni saja aku dapat duduk berdua-duaan dengan kau. Lepas ni mesti ada lakikau.” 
            “Ton, macam yang aku cakapkan dulu.  Kau tetap kawan aku dunia dan akhirat.  Aku sesekali takkan lupakan kau.  Sesekali kita keluarkan berdua, boleh saja. Kau jangan bimbang ya.  Aku nak kahwin sajalah oi! Bukan nak ke mana-mana!” Rose menampar peha Zaiton yang sudah mula menangis.  Sedih sangatlah agaknya.  Ya ALLAH, macam budak kecil sahaja.   Puas dia memujuk Zaiton, sudah selesai makan baru hati sahabatnya itu tenang.